am@hmetro.com.my
Putrajaya: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyasarkan untuk bertanding sehingga 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), berbanding rekod sebelum ini sekitar 25 hingga 28 kerusi.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, jumlah itu realistik berdasarkan prestasi lalu memandangkan parti pernah memenangi 11 kerusi pada 2014, namun kini hanya memiliki lapan kerusi.
Menurutnya, angka kerusi ditandingi sebelum ini dijadikan penanda aras, namun parti tidak menolak kemungkinan menambah satu hingga tiga kerusi lagi di beberapa negeri yang dilihat berpotensi termasuk Sabah dan Johor.
Katanya, pemilihan calon masih dalam perbincangan dan parti memberi keutamaan kepada gabungan calon berpengalaman serta muka baharu, khususnya daripada golongan pemuda dan wanita.
“Setiap calon ada kuota tertentu termasuk kuota wanita dan pemuda, selain mengambil kira kepimpinan di peringkat negeri dan kawasan,” katanya pada Majlis Iftar dan Apresiasi Konvensyen Nunji 2025 di sini hari ini.
Mujahid berkata, AMANAH menyasarkan 30 peratus penyertaan masing-masing dari kalangan wanita dan pemuda, dengan kepimpinan pusat sudah mengadakan perbincangan untuk memilih calon yang benar-benar layak untuk memenangkan parti.
Dalam masa sama, beliau menegaskan strategi utama menjelang pilihan raya adalah memastikan perpaduan dan kerjasama antara parti dalam gabungan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.
Ditanya mengenai jangkaan bila PRU16 akan diadakan, Mujahid berpandangan tempoh awal tahun depan lebih sesuai, namun parti tetap membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




