syafil.syazwan@hmetro.com.my
KEBIASAANNYA lagu raya sering dikaitkan dengan irama joget, zapin atau pop moden.
Namun, bagi penyanyi dan pempengaruh, Danial Zain, dia memilih untuk tampil berani dengan membawa haluan berbeza menerusi taruhan lagu Aidilfitri pertamanya berjudul Itulah Hari Raya.
Bukan calang-calang, lagu ini menggabungkan elemen broadway, kabaret dan koir yang jarang diteroka dalam naskhah perayaan di Malaysia.
Bergabung tenaga bersama tiga rakan artis lain iaitu Marsya Qistina, Syafiq Naser dan Intan Shafinaz, Danial mengakui berasa gementar, namun teruja dengan eksperimen muzik ini.
“Sejujurnya saya agak gementar kerana trend muzik sentiasa berubah. Sebagai penyanyi dan komposer, kami perlu bijak menyesuaikan diri.
“Idea ini datang daripada Intan Shafinaz yang mahukan konsep broadway dengan sentuhan koir.
“Ini sesuatu yang baharu buat saya kerana sebelum ini saya sinonim dengan lagu-lagu bernuansa galau,” katanya.
Keunikan utama ciptaan komposer SR dan Muhd terletak pada susunan harmoni vokal yang lengkap merangkumi elemen Soprano, Alto, Tenor dan Bass (SATB).
“Saya sendiri baru menyedari rupa-rupanya suara saya mampu mencapai nota ‘bass’ yang sangat rendah.
“Kami mahu pendengar merasai suasana era kegemilangan filem klasik Melayu seperti dunia Tan Sri P Ramlee yang penuh gaya dan dramatik,” katanya.
Bercerita mengenai penceritaan liriknya, Itulah Hari Raya mengangkat kisah ringkas namun dekat di hati masyarakat.
Ia mengisahkan sekumpulan adik-beradik yang bekerja di tempat yang sama, tetapi sering gagal mendapat cuti raya serentak.
“Tahun ini, mereka akhirnya dapat pulang dan menyambut raya bersama. Walaupun ada sedikit ‘kekecohan’ apabila berkumpul, itulah yang memeriahkan suasana,” katanya.
Meskipun terdapat kekangan yang menghalang penggambaran muzik video (MV) mengikut konsep asal, mereka tetap berjaya menghasilkan sebuah music visual video.
Ditanya mengenai persaingan lagu raya yang sengit sehingga ada yang sanggup melakukan gimik demi tular, Danial yang juga anak buah Ziana dan Anuar Zain mempunyai pandangannya sendiri.
“Sebagai artis baharu, tipulah kalau tidak mahu tular untuk dikenali. Namun, niat utama kami adalah mahu berseronok dan menikmati pengalaman berkarya.
“Saya banyak belajar daripada rakan yang lebih pakar. Bagi saya, nyanyian bukan sekadar menyanyi, tetapi merangkumi teknik, kerja berpasukan dan strategi pemasaran yang teliti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




