
Araghachi (kiri) dan Trump. – Foto Agensi
TEHERAN – Iran menegaskan akan terus berjuang ‘selagi diperlukan’ walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membayangkan bahawa konflik dengan negara itu akan berakhir tidak lama lagi.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Selasa menyatakan bahawa negaranya bersedia meneruskan serangan menggunakan peluru berpandu selagi diperlukan dan menolak sebarang rundingan dengan Washington, atas alasan ‘pengalaman lalu yang pahit’.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Iran melancarkan gelombang serangan baharu ke atas negara Teluk yang berpihak kepada AS, beberapa jam selepas jaminan Trump mengenai pengakhiran segera konflik yang semakin meluas.
Trump sebelum ini berkata, “perang ini akan berakhir tidak lama lagi, dan jika ia berulang, mereka akan dihentam lebih teruk.”
Beliau juga mengugut serangan ‘tidak ternilai’ jika Iran menghalang bekalan minyak.
Tentera Pengawal Revolusi Iran juga menegaskan bahawa mereka, bukan Amerika Syarikat yang akan menentukan masa tamat perang.
Serangan Iran terkini menyasarkan kapal-kapal di Selat Hormuz, laluan transit hampir 20 peratus bekalan minyak dunia, selain menyerang beberapa negara Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Arab Saudi dan Kuwait turut dilaporkan memusnahkan beberapa dron yang dilancarkan Iran.
Di Israel, tentera melaporkan serangan ke atas pelancar peluru berpandu Iran selepas serangan balas oleh negara itu. – AFP
Ringkasan AI
- Iran menegaskan akan terus berjuang selagi diperlukan walaupun ada bayangan konflik dengan AS akan berakhir tidak lama lagi
- Menteri Luar Iran menyatakan negaranya bersedia meneruskan serangan menggunakan peluru berpandu dan menolak rundingan dengan AS
- Iran melancarkan gelombang serangan baru ke atas negara Teluk yang berpihak kepada AS
- Trump mengugut serangan ‘tidak ternilai’ jika Iran menghalang bekalan minyak
- Serangan Iran menyasarkan kapal-kapal di Selat Hormuz dan beberapa negara Teluk, sementara Arab Saudi dan Kuwait memusnahkan dron Iran



