am@hmetro.com.my
Ipoh: Penjawat awam antara lapan individu beragama Islam ditahan di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee di sini, yang menjadi ‘port’ kaki ponteng puasa serta kegiatan judi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Asyraf Ismail berkata, operasi serbuan Ops Ponteng dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JAIPk, semalam ke atas pusat snuker berkenaan susulan maklumat risikan selama seminggu.
Katanya, daripada lapan tangkapan berusia antara 36 hingga 59 tahun itu, lima daripadanya adalah bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan dan masing-masing seorang berjudi, bersubahat berjudi serta bersubahat tidak menghormati Ramadan.
Menurutnya, hasil operasi mendapati terdapat dua kesalahan yang dilakukan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 iaitu tidak menghormati Ramadan; serta Seksyen 26 enakmen yang sama bagi kesalahan berjudi.
“Bagi pekerja premis ini yang bukan Muslim pula kita akan siasat mengikut Seksyen 61 kerana bersubahat melakukan kesalahan itu.
“Risikan kita mendapati premis berkenaan menjadi tempat bagi orang tidak berpuasa malah di sini ada disediakan makanan selain yang kita jumpa ramai yang minum, makan dan menghisap rokok.
“Malah difahamkan premis ini membekalkan mi goreng secara percuma kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita ketika operasi berkenaan.
Seorang pengunjung yang juga penghantar makanan ketika disoal penguat kuasa, mendakwa dia berpuasa dan singgah ke pusat snuker itu hanya untuk membuang air kecil, namun lakonannya itu gagal apabila terdapat bukti visual dia merokok dalam premis berkenaan.
Seorang lagi pengunjung pula sekadar diam apabila anggota penguat kuasa JAIPk menunjukkan bukti gambar dia merokok ketika di pusat snuker itu biarpun sebelum itu mendakwa kononnya berpegang bahawa merokok tidak membatalkan puasa.
Semua tangkapan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JAIPk untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




