AS-Israel lancar serangan paling sengit ke atas Iran, penduduk gambarkan seperti neraka

AS-Israel lancar serangan paling sengit ke atas Iran, penduduk gambarkan seperti neraka

Dubai/Tel Aviv/Washington: Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan hebat ke atas Iran pada Selasa dengan apa yang digambarkan oleh Pentagon serta penduduk di lapangan sebagai serangan udara paling sengit sepanjang perang, walaupun pasaran global menjangkakan Presiden Donald Trump akan berusaha menamatkan konflik itu dalam masa terdekat.

Meningkatkan lagi risiko terhadap ekonomi global, Pengawal Revolusi Iran menyatakan mereka akan menyekat penghantaran minyak dari Teluk sekiranya serangan AS dan Israel tidak dihentikan.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut memaklumkan mereka melancarkan serangan peluru berpandu pada petang Selasa ke arah pangkalan Al Udeid di Qatar yang dikendalikan oleh AS serta pangkalan Al Harir di wilayah Kurdistan, Iraq.

Bagaimanapun, Rumah Putih sekali lagi mengulangi ancaman Trump untuk melancarkan serangan keras terhadap Iran sekiranya negara itu mengambil tindakan menghentikan aliran bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, yang mana peperangan menyebabkan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia terhenti.

Pada masa sama, Trump turut mengulangi tawarannya Tentera Laut AS boleh mengiringi kapal tangki minyak bagi memastikan pelayarannya melalui selat itu selamat.

“Hari ini sekali lagi akan menjadi hari serangan paling sengit ke atas Iran, membabitkan paling banyak pesawat pejuang, pesawat pengebom, serangan yang paling banyak, serta maklumat risikan lebih tepat dan lebih baik berbanding sebelum ini,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam taklimat di Pentagon.

Dalam satu mesej yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya hari yang sama, Presiden Donald Trump berkata: “Dalam tempoh beberapa jam ini, kami sudah menyerang dan memusnahkan sepenuhnya 10 kapal Iran ‘tidak aktif’ yang diletakkan ranjau laut (periuk api laut).

Bagaimanapun, Trump tidak menjelaskan lokasi serangan itu berlaku.

Penduduk Tehran yang dihubungi oleh Reuters menggambarkan malam itu umpama seperti neraka.

“Rasanya seperti neraka. Mereka membedil di merata tempat, setiap bahagian Tehran,” kata seorang penduduk melalui telefon, meminta namanya dirahsiakan atas faktor keselamatan.

“Anak-anak saya kini takut untuk tidur.

“Di bahagian timur Tehran, dua bangunan kediaman lima tingkat terkena serangan pada Isnin, menyebabkan lantai dan dinding runtuh, hanya tinggal rangka,” katannya.

Rakaman daripada Bulan Sabit Merah Iran menunjukkan penyelamat membawa seorang mangsa di dalam beg mayat.

Pekerja masih lagi mengeluarkan mayat di lokasi itu pada Selasa apabila sebuah peluru berpandu terkena persimpangan jalan berdekatan.

Namun, dengan Trump pada Isnin menggambarkan perang sebagai ‘sangat lengkap, hampir selesai’, pelabur dilihat yakin beliau akan menamatkan konflik itu tidak lama lagi-sebelum gangguan terhadap bekalan tenaga global mencetuskan kemelesetan ekonomi di seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top