Bulan Ramadan kembali menyinari kehidupan dengan keberkatan dan kenangan manis bersama keluarga. Sempena musim mulia ini, Glenmarie Hotel & Golf Resort membawa kembali bufet istimewa yang dinanti-nantikan ramai, Panggung Citarasa Nenda.
Mengangkat konsep pentas kulinari yang diinspirasikan daripada resipi turun-temurun dan tradisi kekeluargaan, bufet ini menjanjikan pengalaman berbuka yang bukan sahaja memuaskan selera, tetapi juga membangkitkan rasa nostalgia.
Setiap malam, menu utama yang pasti mencuri perhatian tetamu termasuk Rusa Golek, Kambing Panggang, dan Kerbau Panggang. Ketiga-tiga hidangan ini menjadi simbol kemewahan juadah Ramadan yang jarang ditemui di bufet biasa.
Menurut Cef Muhamad Farhan Aszme, rusa golek dipanggang perlahan sehingga empuk, menghasilkan daging lembut berjus yang disajikan bersama sos istimewa.
Kambing panggang pula diperap dengan rempah hingga menembusi isi, memberikan aroma yang menggoda.
Sementara itu, kerbau panggang menawarkan rasa lebih unik, sesuai untuk mereka yang ingin mencuba kelainan sepanjang Ramadan.
“Gabungan ketiga-tiga hidangan ini bukan sahaja memanjakan lidah, malah menjadi pilihan utama tetamu yang ingin menikmati kelainan,” katanya.
Bufet Panggung Citarasa Nenda turut menampilkan durian, raja buah yang jarang diketengahkan dalam juadah Ramadan hotel. Durian menambahkan elemen eksklusif, terutama buat penggemar buah ini yang ingin menutup juadah berbuka dengan rasa manis dan berkrim memikat.
Tetamu juga boleh menikmati pelbagai hidangan tradisi dan serantau dari seluruh Malaysia. Antaranya ialah pelbagai jenis laksa seperti laksam, laksa Penang, laksa utara, dan laksa Sarawak yang mampu membangkitkan selera.
Selain itu, daging Bakar Harimau Menangis, nasi kerabu lengkap dengan ulam-ulaman segar, dan nasi kandar turut disajikan.
Secara keseluruhan, lebih 400 menu dihidangkan sepanjang Ramadan bagi mengimbangi citarasa warisan dengan pilihan premium.
Konsep bufet ini bukan sekadar tentang makanan semata-mata, tetapi juga tentang mengeratkan hubungan, berkongsi cerita, dan menghidupkan semula detik kebersamaan yang menjadi inti pati Ramadan.
Bagi mereka yang ingin mengunjungi bufet ini, setiap kunjungan dijanjikan pengalaman rasa yang berbeza, penuh memori manis dan kepuasan selera.




