am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sejak lahir tidak menghalang ibu tunggal di Kampung Chekok, Panji, mencari rezeki sebagai penghantar barang atau ‘runner’ untuk menyara dua anaknya yang masih bersekolah.
Che Faezah Che Nordin, 41, berkata, kehidupannya berubah selepas berpisah dengan suami lima tahun lalu dan sejak itulah dia memikul tanggungjawab membesarkan dua anaknya berusia 7 dan 12 tahun secara bersendirian.
Katanya, bagi menampung perbelanjaan harian, dia melakukan kerja sambilan sebagai runner di sekitar Pengkalan Chepa dengan upah sekitar RM4 hingga RM5 bagi setiap penghantaran.
“Kadang-kadang dalam sehari saya hanya menerima dua atau tiga pesanan daripada pelanggan yang menghubungi saya untuk membeli barang kering atau basah di kedai runcit atau pasar, kemudian menghantarnya ke rumah mereka.
“Pelanggan akan menghubungi saya di WhatsApp menyatakan jenis barang yang diperlukan dan waktu untuk dihantar,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Chekok, Panji, di sini, hari ini.
Katanya, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila dia memperoleh bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Dengan bantuan ini, saya perlu menguruskan semua perbelanjaan termasuk sewa rumah sebanyak RM150 sebulan serta keperluan harian kami tiga beranak.
“Alhamdulillah, bantuan bulanan yang diterima dapat meringankan beban saya walaupun ada kalanya terpaksa mencatu makan dan jika terputus makanan, saya terpaksa menebalkan muka menghubungi saudara-mara terdekat untuk membantu,” katanya.
Che Faezah berkata, bagaimanapun apabila keadaan benar-benar terdesak, dia akan mendapatkan bantuan daripada pihak masjid berhampiran.
“Biasanya saya akan ke Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa untuk meminta bantuan dan diberi sekitar RM30 yang boleh digunakan untuk membeli barang dapur.
“Pada masa sama, hampir setiap tahun, Masjid Mukim Chekok juga menyalurkan bantuan ‘one off’ sebanyak RM100 setahun kepada golongan asnaf bagi meringankan beban,” katanya.
Katanya, dalam keadaannya pada ketika ini, dia amat harap ada pihak dapat tampil membantu mengurangkan beban dia sekeluarga.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 14153023165057 atas nama Che Faezah Che Nordin atau menghubunginya di talian 013-9984360.
© New Straits Times Press (M) Bhd




