Jonathan Wong Ketua Pegawai Eksekutif baharu PRISM+

Jonathan Wong Ketua Pegawai Eksekutif baharu PRISM+

PETALING JAYA: PRISM+ mengumumkan pelantikan Jonathan Wong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, sekali gus menyaksikan Pengasasnya, Jonathan Tan, dinaikkan ke jawatan Pengerusi Eksekutif.

Pelantikan itu selaras dengan rancangan strategik jenama untuk memperkukuh struktur kepimpinan dan mempercepatkan pertumbuhan.

Syarikat itu berkata, Jonathan Wong membawa pengalaman kepimpinan luas daripada Uber, CloudKitchens dan Habyt, serta pengalaman terdahulu dalam perbankan pelaburan dan perundingan pengurusan di seluruh APAC.

“Pengalaman beliau dalam mengembangkan perniagaan teknologi dan pengguna berpotensi tinggi di pasaran pelbagai akan menjadi teras ketika PRISM+ mengukuhkan kehadiran domestik dan antarabangsa.

“Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Jonathan Wong akan memimpin pengembangan strategik PRISM+, memperluas kehadiran melepasi Singapura.

“Ia turut akan mempertingkatkan ekosistem produk daripada TV pintar dan monitor kepada rangkaian penuh perkakas rumah pintar, dengan tumpuan jelas kepada misi PRISM+ yang menyediakan teknologi premium dan pengalaman luar biasa kepada semua,” katanya dalam kenyataan.

Sementata itu, Jonathan Wong berkata, ia merupakan satu keistimewaan untuk memimpin PRISM+ ke fasa seterusnya.

“Jenama ini telah membina asas kukuh sebagai jenama pengguna yang terkenal dan fokus saya adalah untuk mengembangkan kejayaan itu melalui rangkaian teknologi rumah pintar yang semakin berkembang.

“Ia turut menggabungkan kecemerlangan perkhidmatan, inovasi produk dan nilai yang tiada tandingan untuk memperkukuh kedudukan syarikat sebagai jenama teknologi rumah pintar terkemuka di rantau ini,” katanya.

Sejak memasuki pasaran Malaysia, PRISM+ mengekalkan pertumbuhan dua digit setiap tahun dan memperluas perniagaannya melepasi platform e-dagang.

Kini, jenama itu mempunyai 10 cawangan runcit di pusat beli-belah utama seluruh negara, termasuk Sunway Pyramid, Sunway Velocity, IOI City Mall Putrajaya, Queensbay Mall, Setia City Mall dan AEON Mall Tebrau City.

PRISM+ akan memperkukuh kehadirannya dengan pembukaan cawangan baharu di Imago Shopping Mall, Malaysia Timur, menandakan langkah seterusnya dalam pengembangan serantau jenama itu.

Kehadiran runcit yang semakin berkembang ini mengukuhkan kedudukan PRISM+ sebagai salah satu jenama teknologi rumah yang berkembang paling pesat di Malaysia, memenuhi permintaan yang meningkat terhadap TV, monitor, penghawa dingin dan perkakas rumah premium.

Dalam pada itu, Pengasas PRISM+ Jonathan Tan akan beralih ke jawatan Pengerusi Eksekutif untuk memberi tumpuan kepada hala tuju jangka panjang syarikat.

Beliau akan menumpukan tenaga pada pertumbuhan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan produk baharu.

Ia sekali gus memacu aliran inovasi yang akan menentukan bab seterusnya PRISM+, memastikan visi strategik dan kesinambungan jenama merentasi pasaran.

Jonathan Tan berkata, PRISM+ sentiasa mewakili kualiti, kepercayaan dan aksesibiliti.

Katanya, jenama yang lahir di Singapura itu dibina atas prinsip bahawa teknologi bertaraf dunia harus dapat dinikmati oleh semua orang.

“Daripada televisyen, monitor dan penghawa dingin ikonik kami kepada barisan produk baharu seperti mesin basuh, penyedut debu dan pelbagai peralatan rumah pintar lain, kami terus mendefinisikan inovasi mampu milik untuk setiap rumah.

“Dengan kerjasama Jonathan Wong, saya yakin PRISM+ akan terus memajukan kategori ini dan memberikan nilai luar biasa kepada setiap rumah,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top