Pasaran buruh kekal stabil, kadar pengangguran 2.9 peratus – DOSM

Pasaran buruh kekal stabil, kadar pengangguran 2.9 peratus – DOSM

Putrajaya: Pasaran buruh negara kekal stabil, merekodkan kadar pengangguran 2.9 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Januari 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh negara pada Januari 2026 terus berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil serta kadar pengangguran yang kekal rendah.

“Oleh itu, tenaga buruh terus menunjukkan momentum positif pada bulan berkenaan, meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.28 juta orang (Disember 2025: 17.27 juta orang).

“Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus (Disember 2025: 70.8 peratus) menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada bulan berkenaan dengan peningkatan marginal 0.04 peratus kepada 16.77 juta orang daripada 16.76 juta orang pada Disember 2025.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur merekodkan sedikit pertambahan, iaitu sebanyak 0.3 peratus, mencecah 509,600 orang (Disember 2025: 508,000 orang).

“Kadar pengangguran pada Januari kekal 2.9 peratus, seperti bulan yang lepas,” katanya.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia pada bulan-bulan seterusnya dijangka kekal utuh dengan kadar pengangguran yang terus rendah, mencerminkan kedudukan tenaga buruh yang kukuh.

“Penyertaan tenaga buruh juga diramal kekal stabil berikutan pemulihan seimbang sektor perkhidmatan, pelancongan dan eksport teknologi.

“Peluang pekerjaan juga dilihat akan meningkat dalam subsektor teknologi tinggi dan perkhidmatan, didorong oleh automasi, AI (kecerdasan buatan), digital dan pelaburan asing.

“Meskipun terdapat ketidaktentuan global, asas ekonomi domestik yang kukuh dan permintaan dan penawaran buruh yang stabil dijangka terus menyokong pertumbuhan pasaran buruh negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top