
Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan (kiri), Qayyim Razin Razali (tengah) dan Hakim Danish semasa Majlis Berbuka Puasa Rakan-Rakan MKA di Banglow 289 IOI City Mall, pada Selasa. Foto: Bernama
HAKIM Danish Ramli mula mengatur persiapan rapi menjelang pusingan kedua kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan meneliti karakter Litar Antarabangsa Ayrton Senna, Goiânia, Brazil yang bakal menjadi pentas Grand Prix (GP) Brazil 2026.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu berkata dia telah meneliti video bagi memahami karakter litar tersebut kerana ini adalah kali pertama dia dan kebanyakan pelumba lain beraksi di litar berkenaan.
“Untuk Brazil ini, litar yang baharu untuk semua orang dan saya pun sudah melihatnya melalui video di telefon serta belajar daripada situ.
“Saya lihat litarnya agak baik dan saya harapkan dapat mencatat keputusan yang baik,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa media bersama Kumpulan MKA di Putrajaya.
Pelumba berusia 18 tahun itu menjelaskan fokus utama kini adalah memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti selepas perlumbaan pembuka musim di Thailand.
“Apa yang saya boleh lihat, pada perlumbaan pertama di Thailand masih banyak lagi ruang yang saya perlu perbaiki, termasuk tunggangan saya dan juga pelarasan pada motosikal,” katanya.
Beliau berkata aspek pelarasan motosikal, terutama bahagian casis dan pengendalian ketika membre menjadi antara perkara yang perlu dipertingkatkan.
Pusingan kedua MotoGP musim ini dijadualkan berlangsung di Brazil dari 20 hingga 22 Mac ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu sebelum ini membuka kalendar kelas Moto3 MotoGP 2026 pada GP Thailand baru-baru ini di kedudukan ke-18 daripada 26 pelumba.
Ringkasan AI
- HAKIM Danish Ramli mengatur persiapan rapi menjelang pusingan kedua Moto3 di Brazil
- Pelumba tersebut telah meneliti video untuk memahami karakter Litar Antarabangsa Ayrton Senna
- Fokus utama adalah memperbaiki kelemahan selepas perlumbaan di Thailand
- Aspek pelarasan motosikal termasuk casis dan pengendalian ketika membre perlu diperbaiki
- Pusingan kedua MotoGP di Brazil berlangsung dari 20 hingga 22 Mac



