KSN akan ambil tindakan lanjut isu pegangan saham Azam Baki

KSN akan ambil tindakan lanjut isu pegangan saham Azam Baki

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan mengambil tindakan susulan berhubung isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu pegangan saham berkenaan.

“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan saya tidak akan menyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksana oleh Tan Sri KSN.

“Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan daripada KSN, saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Semalam, Shamsul Azri berkata, laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Azam akan diteliti oleh Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat.

Shamsul Azri berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah menerima laporan itu daripada Pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Langkah itu susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, berkata pegangan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Mengulas isu dakwaan manipulasi korporat yang dilaporkan oleh beberapa media, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa siasatan berhubung beberapa individu telah pun dimulakan sejak beberapa tahun lepas.

“Maka arahan yang diberikan oleh Jemaah Menteri kepada badan-badan penguatkuasaan meliputi pihak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM serta Lembaga Hasil Dalam Negeri supaya meneruskan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, siasatan itu tidak seharusnya terhad kepada individu yang kini menjadi tumpuan awal sebaliknya perlu diperluas jika terdapat penglibatan pihak lain.

Fahmi berkata, agensi penguatkuasaan turut diarah mengambil tindakan perundangan sewajarnya termasuk menyita hasil yang dipercayai mempunyai elemen jenayah.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa diminta meneliti sekiranya terdapat sebarang kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang memungkinkan berlakunya tindakan dipercayai bersifat manipulasi korporat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu manipulasi korporat oleh Azam Baki yang dipengerusikan oleh Mohd Dusuki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top