Tahniah, JDT lakar sejarah ke suku akhir ACLE

Tahniah, JDT lakar sejarah ke suku akhir ACLE

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah tersendiri apabila muncul kelab pertama dari Malaysia mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menumbangkan Sanfrecce Hiroshima menerusi agregat 3-2, sebentar tadi.

Biarpun tewas 0-1 dalam aksi timbal balik di Hiroshima, namun kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim pada minggu lalu sudah cukup membawa wakil negara itu ke peringkat lapan terbaik kejohanan.

Untuk rekod, sejak saingan kelab tertinggi Asia itu dijenamakan semula, tiada mana-mana pasukan dari Malaysia pernah mara ke suku akhir dan kejayaan itu pastinya membanggakan seluruh peminat bola sepak tempatan.

Kesungguhan Sanfrecce memburu gol awal terserlah sejak mula apabila mendominasi aksi dengan skuad Harimau Selatan lebih banyak bertahan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-17 apabila Hayao Kawabe melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, namun berjaya dihalang pertahanan pelawat untuk melegakan Andoni Zubiaurre di pintu gol.

Pada minit ke-42, JDT memiliki peluang terbaik meraih gol pertama menerusi Oscar Aribas, tetapi percubaan sempat ditepis sebelum bola terkena tiang gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah meningkatkan asakan bertubi-tubi ke gawang JDT, namun barisan pemain Francisco Munoz berjaya menangkis segala gerakan.

Bagaimanapun, pada hujung permainan Sanfrecce dihadiahkan sepakan penalti selepas percubaan Yotaro Nakajima terkena tangan Nene dalam kotak penalti.

Kosuke Kinoshita yang mengambil sepakan itu tenang meledak gol di minit ke-90 untuk meletakkan anak buah Bartosch Paul Gaul mendahului 1-0.

Gol itu menaikkan semangat tuan rumah, namun JDT berjaya mengekalkan kelebihan satu gol untuk memenangi aksi, sekali gus mara ke suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top