My Ramadan Love Story Angkat Kisah Cinta Penuh Makna Sempena Bulan Ramadan

My Ramadan Love Story Angkat Kisah Cinta Penuh Makna Sempena Bulan Ramadan

Bersempena kedatangan bulan Ramadan, syarikat produksi P-Circle bersama Nuansa Sdn Bhd tampil menghasilkan sebuah drama vertikal berjudul, ‘My Ramadan Love Story’ yang mengetengahkan kisah cinta sederhana namun sarat dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan.

Diterbitkan oleh penerbit tersohor Osman Ali melalui kerjasama P-Circle dan Nuansa Sdn Bhd, drama ini tampil dengan pendekatan yang sedikit berbeza daripada kebanyakan karya bertemakan Ramadan.

Manakala, menurut penerbit Nuansa, Jaya Julian, idea menghasilkan drama tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap detik-detik kecil yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

“Ramadan adalah waktu untuk seseorang memperlahankan langkah, merenung diri serta menjadi lebih peka terhadap hati dan niat.

“Drama ini dilhamkan daripada detik-detik sederhana yang berlaku sepanjang Ramadan, seperti interaksi ringkas di masjid atau sekecil momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa. Detik seperti ini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan antara manusia,” katanya.

Julian berkata demikian pada majlis tayangan perdana dan berbuka puasa bersama media di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur pada Isnin.

Uniknya drama vertikal ‘My Ramadan Love Story’ ini terletak pada pendekatan ‘storyline’ nya yang lebih tenang tanpa memfokuskan konflik besar atau emosi dramatik.

“Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang disimpan. Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim yang dijemput khas sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak produksi dan penganjur untuk berkongsi kegembiraan sempena bulan yang penuh keberkatan ini.

Untuk info, antara barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini adalah, Muaz Zabir, Ezzanie Jazny, Syrul Ezwan, Farah Nadiah dan Wan Raja.

Scroll to Top