am@hmetro.com.my
Kangar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis merekodkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM3,163,500 akibat kejadian kebakaran di kawasan Kuala Perlis bagi tempoh 2024 sehingga 19 Jun lalu.
Pengarah JBPM Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, berdasarkan statistik terkini, tahun 2026 menunjukkan peningkatan kes paling ketara iaitu sebanyak tujuh kes direkodkan sehingga 18 Jun lalu dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1.5 juta.
Katanya, jumlah kerugian pada tahun ini melonjak tinggi berbanding tahun 2024 yang mencatatkan lima kes dengan kerugian RM923,000, manakala tahun 2025 pula merekodkan tiga kes membabitkan kerugian RM740,000.
“Bagi nilai harta benda yang berjaya diselamatkan oleh pihak bomba di kawasan berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun pula adalah sebanyak RM1.17 juta.
“Angka itu membabitkan RM880,000 pada 2024, diikuti RM260,000 (2025) dan RM30,000 bagi tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, tadi.
Wan Mohd Hamizi berkata, statistik turut menunjukkan nilai terbesar kerugian dalam tempoh berkenaan melibatkan insiden kebakaran pada 13 Jun lalu di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis.
“Kebakaran terbabit memusnahkan lapan rumah dengan peratusan kemusnahan 100 peratus membabitkan nilai kerugian sebanyak RM750,000, di mana hasil siasatan mendapati punca kebakaran disebabkan kegagalan pada pendawaian elektrik.
“Manakala kes kedua terbesar pula berlaku pada 17 Mac lalu di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis yang menyaksikan lima rumah musnah sepenuhnya dengan anggaran kerugian berjumlah RM400,000,” katanya.
Susulan insiden kebakaran struktur yang kerap berlaku di kawasan berkenaan, kerajaan negeri semalam memaklumkan akan melaksanakan kajian komprehensif berhubung kedudukan dan susun atur penempatan berkenaan.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kejadian kebakaran memusnahkan 11 rumah dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini termasuk insiden pada 13 Jun lalu menjadi amaran awal kepada kerajaan negeri untuk menyediakan pelan tindakan pencegahan yang berkesan.
Katanya, kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, penggunaan material binaan berisiko serta susun atur kediaman konvensional yang tidak mematuhi garis panduan perancangan khusus.
“Justeru, satu mekanisme perancangan khusus termasuk penyusunan semula susun atur kediaman, penyediaan kemudahan infrastruktur, utiliti yang baik serta sistem pencegah kebakaran aktif di lokasi strategik perlu diwujudkan.
“PlanMalaysia Perlis bersama jabatan teknikal negeri dan Persekutuan diberi tanggungjawab menyediakan pelan induk (master plan) yang merangkumi keseluruhan kawasan terbabit, dan kita jangka perancangan holistik ini dapat dilihat dalam tempoh enam bulan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




