BEIRUT: Israel terus mengebom Lubnan, menyerang sebuah bangunan kediaman di tengah Beirut dan beberapa lokasi di bahagian timur serta selatan negara itu.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) melaporkan serangan awal semalam mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan lima yang lain di Tamnin al-Tahta, daerah Baalbek, selepas laporan terdahulu menyatakan 10 terbunuh termasuk seorang di Zlaya, Bekaa.
NNA turut melaporkan tiga orang terbunuh selepas sebuah kereta disasarkan oleh dron Israel di Saf al-Hawa, Bint Jbeil, selatan Lubnan.
Jumlah mangsa serangan di tengah Beirut ke atas sebuah bangunan bertingkat di kawasan Aisha Bakkar masih belum disahkan, tetapi serangan itu dipercayai satu lagi cubaan pembunuhan beramai-ramai, lapor wartawan Al Jazeera, Zeina Khodr di lokasi kejadian.
“Kami difahamkan ramai penghuni bangunan ini kini berada di hospital. Terdapat laporan mengenai kematian dan kecederaan akibat serangan ini,” katanya pada Rabu.
Khodr menjelaskan bangunan itu bukan kubu kuat Hezbollah atau terletak di kawasan yang dikuasai kumpulan itu, sebaliknya berada di kawasan kediaman yang padat penduduk.
“Orang ramai di sini berada dalam keadaan terkejut, rasanya tiada tempat selamat, tiada garis hadapan,” katanya.
Seorang lagi wartawan Al Jazeera di tengah Beirut, Heidi Pett, melaporkan serangan tersebut memusnahkan satu atau dua tingkat bangunan berkenaan, namun tiada maklumat mengenai sasaran serangan itu setakat ini.
“Bangunan itu masih terbakar. Sekurang-kurangnya dua apartmen terbakar, satu di atas yang lain, dan kerosakannya sangat teruk.”
Beliau berkata, Israel melancarkan serangan ini tanpa amaran.
“Ini kawasan Beirut yang dianggap selamat oleh penduduk. Keluarga yang terpaksa meninggalkan Dahiyeh (pinggir selatan selepas ancaman Israel) kini berlindung di sini, ada yang tidur di jalanan,” kata Pett.
Kerajaan Lubnan memaklumkan sekitar 759,300 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat serangan, menjadikan pertempuran ini antara yang paling teruk dalam perang serantau yang bermula selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Israel dan kumpulan Hizbullah saling berbalas serangan semasa konflik yang sedang berlangsung, tetapi penderitaan dialami Lubnan sangat tidak seimbang.
Sekurang-kurangnya 570 orang terbunuh di Lubnan sejak Israel kembali melancarkan serangan besar-besaran ke atas negara itu pada Isnin lalu.
60 TAN BANTUAN KEMANUSIAAN
Menurut NNA, serangan maut lain di negara itu termasuk beberapa di pinggir selatan Beirut, yang merupakan kubu kuat Hizbollah.
Selain itu, dua serangan udara Israel mengenai kampung Hanaway di daerah Tyre, membunuh tiga orang awam, termasuk seorang paramedik, menurut Kementerian Kesihatan.
Satu serangan Israel turut membunuh seorang dan mencederakan lapan lagi di kawasan al-Housh, Tyre, kata kementerian itu.
Dua lagi terbunuh dalam serangan Israel di bandar Zawtar al-Sharqiyah, lapor NNA.
Beberapa orang cedera dalam serangan dron Israel ke atas sebuah kafe di al-Housh dan sebuah rumah di bandar al-Shahabiya, juga di Tyre.
Kementerian itu menyatakan empat lagi cedera dalam serangan di bandar Tibnin, daerah Bint Jbeil.
Sementara itu, Perancis semalam mengumumkan 60 tan bantuan kemanusiaan untuk dihantar ke Lubnan.
“Minggu ini, kami memutuskan untuk meningkatkan jumlah bantuan kepada tiga kali ganda. Bantuan ini akan mencapai 60 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Lubnan, termasuk kit kebersihan, kit sanitasi, tilam, lampu, dan juga pos perubatan bergerak,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, dalam temu bual bersama stesen radio Perancis TF1.
Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, menyeru ‘pengurangan ketegangan’ di Lubnan, memandangkan arahan pemindahan paksa oleh Israel menjejaskan ratusan ribu orang.
“Rakan kemanusiaan kami melaporkan hampir keseluruhan penduduk yang tinggal di kawasan selatan Sungai Litani, sebahagian wilayah Baalbek dan Lembah Bekaa, serta sebahagian besar pinggir selatan Beirut kini terperangkap dalam permusuhan,” kata Dujarric kepada wartawan dalam taklimat media di New York kelmarin.




