Beri alasan jaga tunang tak sihat, bakal pengantin dicekup khalwat 2.30 pagi

Beri alasan jaga tunang tak sihat, bakal pengantin dicekup khalwat 2.30 pagi

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Hasrat bakal pengantin mendirikan mahligai selepas Aidilfitri terbantut selepas ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah kondominium mewah di bandar raya ini, baru-baru ini.

JAINJ dalam satu kenyataan berkata, serbuan cegah maksiat kira-kira jam 2.30 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kehadiran pasangan bukan mahram di kondominium berkenaan.

“Pasukan penguat kuasa yang tiba di lokasi terlebih dahulu memperkenalkan diri kepada pengawal keselamatan sebelum melakukan pemeriksaan.

“Pintu rumah diketuk beberapa kali sambil penguat kuasa memberi salam dan memperkenalkan diri, namun tiada balasan pada awalnya sebelum pintu akhirnya dibuka kira-kira 10 minit kemudian oleh seorang lelaki.

“Pemeriksaan di dalam rumah studio itu menemui seorang wanita yang turut berada di dalam unit kondominium berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas JAINJ, hasil soal siasat awal mendapati pasangan tersebut mengaku belum berkahwin namun sudah bertunang dan merancang untuk bernikah selepas hari raya tidak lama nanti.

Katanya, pasangan tersebut menganggap kondominium mewah yang disewa itu akan terlepas daripada radar operasi penguat kuasa namun sebaliknya berlaku apabila dicekup.

“Lelaki dan wanita ini masing-masing berumur 20-an dan masih bujang serta bekerja di seberang tambak.

“Apabila ditanya kenapa wanita ini datang, dia menjawab tidak sihat dan lelaki ini perlu menjaganya,” katanya.

Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top