Pertahankan pelabuhan Malaysia, kenal pasti syarikat salah guna operasi pindah kapal

Pertahankan pelabuhan Malaysia, kenal pasti syarikat salah guna operasi pindah kapal

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempertahankan reputasinya sebagai hab perdagangan dan perkapalan yang dipercayai, pada masa sama menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti syarikat yang mungkin menyalahgunakan pelabuhannya untuk mengelak tarif Amerika Syarikat (AS).

Pemerhati industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, Malaysia tidak seharusnya menolak kebimbangan yang dibangkitkan AS atau membiarkan dakwaan secara umum menjejaskan keyakinan terhadap keseluruhan sektor maritim dan logistik negara, sebaliknya pihak berkuasa perlu mendapatkan bukti dan menyiasat syarikat serta kargo yang dikenal pasti.

“Kita tidak seharusnya bersikap defensif terhadap laporan AS. Minta bukti, jalankan siasatan dengan sewajarnya, kenal pasti syarikat dan kargo yang terlibat, kemudian ambil tindakan berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan berkata Malaysia telah berusaha keras untuk membina reputasinya sebagai hab perkapalan dan perdagangan serantau yang dipercayai, dan sebarang keraguan terhadap kredibiliti sijil asal barangan Malaysia atau kawalan kargo boleh memberi kesan serius kepada perniagaan yang sah.

“Apabila rakan dagang antarabangsa mula mempersoalkan sijil asal atau kawalan kargo kita, setiap syarikat Malaysia yang menjalankan perniagaan secara sah akan terkesan.

“Transshipment bukan satu kesalahan. Malaysia ialah negara perdagangan utama dan kargo perlu dibenarkan melalui pelabuhan kita. Namun, transshipment yang sah mesti dibezakan dengan jelas daripada sebarang cubaan menyembunyikan asal sebenar barangan,” katanya.

Pertahankan pelabuhan Malaysia, kenal pasti syarikat salah guna operasi pindah kapal

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada percanggahan antara bil muatan (bill of lading), pengisytiharan kastam, sijil asal, invois komersial serta pergerakan atau pengendalian sebenar kargo.

Katanya, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada penghantaran barangan yang berasal dari China yang didakwa dibungkus atau dilabel semula, atau hanya menjalani pemprosesan minimum di Malaysia sebelum dieksport dan diisytiharkan sebagai barangan berasal dari Malaysia.

“Menukar label atau pembungkusan tidak secara automatik menjadikan sesuatu produk itu berasal dari Malaysia. Pihak berkuasa perlu menentukan sama ada aktiviti pembuatan sebenar atau transformasi ketara berlaku di Malaysia,” katanya.

Jeyenderan berkata siasatan tidak seharusnya terhad kepada pemeriksaan kontena secara fizikal, sebaliknya perlu mengenal pasti syarikat dan pihak perantara di sebalik penghantaran yang mencurigakan, termasuk pengimport, pengeksport, pengilang, ejen penghantaran, ejen kastam, pengendali gudang dan pedagang komoditi.

“Jika ada syarikat yang sengaja menggunakan Malaysia untuk menyembunyikan asal sebenar barangan, kenal pasti syarikat itu. Jangan biarkan keseluruhan industri pelabuhan Malaysia dipersalahkan kerana tindakan segelintir syarikat,” katanya.

Jeyenderan turut menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh saringan berasaskan risiko dengan meneliti rekod pematuhan syarikat, jumlah penghantaran, nilai yang diisytiharkan, negara asal, perubahan penerima konsainan serta corak laluan penghantaran yang luar biasa.

Katanya, selain daripada memeriksa setiap kontena secara fizikal, JKDM boleh menggunakan analisis data untuk mengenal pasti syarikat dan penghantaran berisiko tinggi bagi menjalani pemeriksaan dokumen serta fizikal secara bersasar.

Beliau turut menggesa perkongsian maklumat diperkukuh antara JKDM, pengendali pelabuhan, syarikat perkapalan, agensi penguatkuasaan dan kementerian berkaitan bagi mewujudkan jejak audit digital menyeluruh untuk kargo berisiko tinggi, daripada pelabuhan asal sehingga destinasi akhir.

“Pihak berkuasa perlu dapat menentukan dari mana barangan itu berasal, siapa pemiliknya, siapa yang mengendalikannya di Malaysia, sama ada berlaku pemprosesan ketara dan ke mana barangan itu akhirnya dieksport,” katanya.

Beliau berkata, audit selepas pelepasan kastam juga perlu diperkukuh kerana pemeriksaan tidak seharusnya berakhir selepas kontena meninggalkan pelabuhan, khususnya apabila barangan berkenaan kemudiannya dieksport ke pasaran yang mempunyai perbezaan ketara dari segi tarif.

Pada masa sama, Jeyenderan mengingatkan supaya penguatkuasaan tidak dilakukan secara berlebihan sehingga membebankan pengilang, pengeksport dan syarikat logistik Malaysia yang sah dan mempunyai rantaian bekalan melibatkan China atau AS.

“Malaysia mesti tegas dalam mempertahankan reputasinya, bukan bersikap defensif terhadap siasatan. Kita tidak perlu takut kepada pemeriksaan yang sewajarnya jika sistem kita benar-benar berfungsi,” katanya.

“Jika ada syarikat menyalahgunakan pelabuhan atau zon bebas kita, kenal pasti dan ambil tindakan. Jika perdagangan itu sah, Malaysia harus yakin untuk mempertahankannya,” katanya.

Jeyenderan berkata tindak balas paling kukuh terhadap kebimbangan AS ialah meningkatkan ketelusan, akauntabiliti di peringkat syarikat dan penguatkuasaan berasaskan bukti.

“Pertahankan pelabuhan Malaysia. Lindungi perniagaan yang sah. Tetapi dedahkan pihak yang menyalahgunakan sistem. Itulah cara kita melindungi reputasi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang dipercayai,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top