Prihatin terhadap keadaan pelawak veteran, Sathiya, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) kini mempertimbangkan untuk memasukkan namanya sebagai penerima pencen bulanan sebanyak RM500.
Terima kaki palsu

Memetik laporan Kosmo, pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave, berkata Sathiya, atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, 62, layak menerima bantuan itu selepas kaki kirinya terpaksa dipotong akibat komplikasi kencing manis.
“Sejak 14 tahun lalu, YKAT telah menyalurkan pencen bulanan RM500 daripada tabung yayasan kepada penggiat seni yang layak, termasuk Zaiton Sameon, Mat Sentul, Zainal Rampa, Alfred Ho, Dr. Sam dan beberapa lagi artis veteran.
“Kini, kami sedang mempertimbangkan untuk menambah Sathiya sebagai penerima kelapan memandangkan keadaannya mungkin menghalang beliau daripada terus bekerja.
“Sebelum ini, yayasan juga telah dua kali memberikan sumbangan kepadanya, namun pencen bulanan akan lebih meringankan urusan hariannya,” katanya di Hotel Royal Chulan The Curve, semalam.
Kelmarin, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, sekali lagi menjalani pembedahan pada kaki kirinya di Hospital Ampang.
DJ Dave turut memaklumkan bahawa YKAT sedang berusaha mendapatkan bantuan kaki palsu melalui sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk Sathiya.

“Kaki palsu itu sudah siap, tetapi belum dapat digunakan kerana luka pembedahan masih belum pulih,” ujarnya.
Beliau juga berharap pihak kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas untuk membolehkan YKAT terus membantu penggiat seni veteran yang memerlukan.
“Sebenarnya, sudah lapan tahun YKAT tidak menerima sebarang sumbangan kerajaan, walaupun beberapa cadangan telah dikemukakan.
“Sepanjang tempoh ini, yayasan banyak menjalankan aktiviti dan program kebajikan bagi mengumpul dana, termasuk majlis makan malam tahun lepas yang berjaya mengumpul kira-kira RM300,000 hasil jualan tempat duduk.
“Dana itu membolehkan kami meneruskan pelbagai program kebajikan, termasuk sumbangan musim perayaan dan bantuan berkala kepada penggiat seni yang ditimpa musibah,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Sathiya dilaporkan tidak sedarkan diri, tahap kesihatan makin merosot
DJ Dave, mewakili ahli lain, berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan kepada YKAT supaya misi membantu anak seni terus berterusan.
Sementara itu, pada majlis sama, YKAT menyampaikan sumbangan RM1,000 setiap seorang kepada 17 penerima daripada pelbagai bangsa.
Sumber: Kosmo (Hanisah Selamat)




