Mari serbu Pesta Panjut Kuala Kangsar

Mari serbu Pesta Panjut Kuala Kangsar

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Panorama sekitar Dataran Lembah Kuala Kangsar, di sini, akan lebih bersinar susulan penganjuran Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 anjuran kerajaan negeri Perak bermula 15 hingga 18 Mac ini.

Penganjurannya bertujuan menghidupkan semula tradisi pemasangan pelita sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selain memelihara serta memartabatkan warisan budaya tempatan.

Ia akan disertai tujuh agensi kerajaan serta satu badan bukan kerajaan (NGO) selain membabitkan penyertaan 14 kampung sekitar Kuala Kangsar.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, hadiah keseluruhan kira-kira RM32,000 termasuk saguhati ditawarkan kepada peserta, dengan pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori agensi dan kampung tradisi.

Menurutnya, semua panjut yang dipertandingkan bagi kategori agensi akan menghiasi malam di kawasan Persisiran Sayong Lembah, di sini.

“Ia dapat dilihat daripada Dataran Lembah Kuala Kangsar yang terletak di bahagian seberang dengan dipisahkan oleh aliran Sungai Perak.

“Pesta panjut berskala besar itu yang dianjurkan melalui Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) adalah projek rintis kerajaan negeri Perak. Jika penganjurannya mendapat sambutan maka acara itu akan dimasukkan secara rasmi ke dalam kalendar pelancongan negeri,” katanya.

Kata Sze Yee, acara itu membabitkan perbelanjaan RM175,000 meliputi RM100,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri melalui Belanjawan Perak 2026 serta RM75,000 yang diperuntukkan menerusi pejabatnya.

Antara kampung yang menyertainya adalah Kampung Sayong Lembah, Kampung Kuala Sayong Hulu, Kampung Kepala Bendang, Kampung Sayong Masjid, Kampung Sayong Tebing, Kampung Sayong Hulu, Kampung Menora.

Selain itu Kampung Kubang Pekan, Kampung Bukit Chandan, Kampung Padang Changkat, Kampung Sungai Siput, Kampung Berala, dan Kampung Simpang Tiga Talang.

Katanya, seramai 20,000 pengunjung disasar bagi menyaksikan pertunjukan panjut berkenaan termasuk melalui kunjungan ke kampung-kampung yang menyertainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top