HLB Islamic perkenal pendekatan pengurusan harta ‘Hayat’

HLB Islamic perkenal pendekatan pengurusan harta ‘Hayat’

SHAH ALAM – Hong Leong Islamic Bank Berhad menjenamakan semula perbankan Islamnya kepada HLB Islamic serta memperkenalkan pendekatan pengurusan harta berasaskan kitaran hayat dikenali sebagai Hayat @ HLB Islamic.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Bank, Kevin Lam berkata, pendekatan itu diambil selepas melihat perkhidmatan kewangan bukan sekadar rangkaian produk dan transaksi yang terasing sebaliknya pengurusan harta menyeluruh melalui pendekatan kitaran hayat berpandukan prinsip Syariah.

“Evolusi ini berteraskan falsafah baharu bank, ‘Pegangan Lestari Membimbing Kesenangan Masa Depan’ yang diperkenalkan semasa sambutan ulang tahun ke-20 kami pada Disember lalu bagi menandakan bab baharu dalam pengurusan harta.

“Peralihan kepada HLB Islamic merupakan langkah dirancang secara strategik untuk memperluaskan perniagaan perbankan patuh Syariah sebagai pemacu utama pertumbuhan bank di samping berperanan sebagai gerbang bersepadu bagi memenuhi semua keperluan kewangan dalam ekosistem Hong Leong Financial Group (HLFG),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kevin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu berkata, penjenamaan kepada HLB Islamic merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan jenama serta memperluaskan perbankan patuh Syariah sebagai pemacu pertumbuhan Hong Leong Bank.

“Penyelarasan identiti perbankan Islam dengan jenama teras HLB menjadikan penyelesaian patuh Syariah kami lebih intuitif, mudah diakses serta terintegrasi secara digital.

“Melangkah ke hadapan, matlamat kami adalah untuk menjadikan HLB Islamic sebagai gerbang pilihan bagi pengurusan harta di Malaysia, membuktikan bahawa penyelesaian berteraskan nilai yang benar-benar berfokuskan pelanggan mampu menerajui pasaran dari segi inovasi,” katanya.

Menurutnya, biarpun penjenamaan baharu menandakan evolusi perniagaan yang jelas, Hayat @ HLB Islamic mencerminkan perubahan paradigma dalam cara bank dan pelanggan melihat perkhidmatan kewangan.

“Hayat @ HLB Islamic memperkasa pelanggan untuk melihat harta bukan sekadar kategori yang berdiri sendiri sebaliknya menilai keseluruhan perjalanan kewangan mereka melalui perspektif pengurusan harta.

“Ia turut menggabungkan rangkaian produk menyeluruh bank dalam satu perjalanan yang kohesif, selaras dengan lima tonggak pengurusan harta Islam yang menyokong keseluruhan kitaran kewangan pelanggan,” ujarnya.

Tambahnya, perjalanan tersebut bermula dengan penciptaan dan pengumpulan harta yang menekankan penjanaan kekayaan secara berlandaskan tujuan, bermula daripada gaji pertama hingga pelaburan dalam aset patuh Syariah.

“Asas ini diperkukuh melalui pemeliharaan harta bagi melindungi kekayaan daripada ketidaktentuan, selain dipertingkatkan menerusi penyucian harta yang menggalakkan tanggungjawab etika melalui amalan memberi.

“Akhirnya, pengagihan harta bukan sekadar berkaitan warisan sebaliknya membantu pelanggan merancang legasi yang menurunkan nilai dan prinsip bersama aset kewangan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, perancangan kewangan perlu berasaskan pemikiran jangka panjang dalam pengurusan harta dengan penyelesaian dibangunkan mengikut pelbagai peringkat kehidupan pelanggan bagi memastikan perjalanan kewangan yang mudah.

“Terdapat keindahan tersendiri dalam perbankan Islam kerana prinsipnya menawarkan pandangan holistik terhadap harta sekali gus menghubungkan setiap keputusan kewangan dengan tanggungjawab seimbang terhadap masyarakat,” katanya.

“Berasaskan Maqasid al-Shariah, Hayat @ HLB Islamic mengintegrasikan keseluruhan perjalanan hidup daripada simpanan pertama seorang kanak-kanak hingga perancangan legasi, memastikan perjalanan kewangan itu bukan sahaja menguntungkan tetapi juga bermakna,” katanya.

Tambah beliau, tanggungjawab bank adalah untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan dalam pengurusan kewangan sekali gus memperkasa pelanggan mengurus kewangan daripada perspektif pengurusan harta dan keberlimpahan selaras dengan prinsip Syariah.

“Sejajar dengan komitmen untuk memperkasa pengurusan harta yang lebih bermakna, pelanggan kini boleh mengakses perkhidmatan zakat, sedekah dan wakaf secara terus melalui aplikasi HLB Connect.

“Melalui integrasi kewajipan sosial patuh Syariah ini dalam antara muka mudah alih, pelanggan tidak lagi perlu menavigasi platform luaran. Ini memudahkan mereka melaksanakan sumbangan sebagai sebahagian daripada rutin perbankan harian,” ujarnya.

Dafinah berkata, bagi meraikan pencapaian baharu itu, HLB Islamic melancarkan promosi eksklusif yang menjemput pelanggan memulakan perjalanan Hayat mereka dengan peluang mengunjungi ‘Destinasi Impian’.

“Dengan melibatkan diri dalam produk yang layak di bawah mana-mana daripada lima tonggak Hayat @ HLB Islamic, pelanggan berpeluang memenangi hadiah perjalanan ke Jepun, China dan Vietnam,” katanya.

Ringkasan AI

  • Hong Leong Islamic Bank Berhad dijenamakan semula kepada HLB Islamic dan memperkenalkan pendekatan pengurusan harta Hayat @ HLB Islamic
  • Pendekatan berdasarkan prinsip Syariah dengan pengurusan harta menyeluruh seiring kitaran hayat
  • Penjenamaan semula HLB Islamic sebagai langkah strategik untuk memperluas perbankan patuh Syariah dan pertumbuhan Hong Leong Bank
  • Hayat @ HLB Islamic memperkukuh pelanggan dengan pengurusan harta berasaskan lima tonggak pengurusan harta Islam
  • HLB Islamic memudahkan pelanggan untuk mengakses perkhidmatan zakat, sedekah, dan wakaf melalui aplikasi HLB Connect
Scroll to Top