suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengarah syarikat direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada syarikat pemaju hartanah bagi menyerahkan tanah milik bekas pekerja ladang untuk pembangunan komersial.
Perintah reman terhadap suspek sehingga Isnin ini, dikeluarkan Majistret Mohamad Suffian Jaafar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek dipercayai menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja ladang di Hulu Selangor antara tahun 2020 hingga 2025 tanpa pengetahuan mereka kepada sebuah syarikat pemaju.
“Suspek yang juga pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar (3.24 hektar) itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun.
“Ia dipercayai sebagai balasan membantu menyerahkan tanah bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd



