latifah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) merancang memberi tumpuan kepada pasaran negara Eropah, Asia dan ASEAN sebagai langkah strategik baharu bagi mendepani cabaran susulan krisis Asia Barat yang menyekat pergerakan pelancong antarabangsa untuk bercuti di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, alternatif itu antara usaha MOTAC bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tidak terjejas dan mencapai sasaran ditetapkan.
“Buat masa sekarang MOTAC akan panggil (semua pihak yang berkaitan pelancongan) dalam kementerian terutama Tourism Malaysia untuk duduk berbincang semula dan susun strategi (yang perlu susulan krisis Asia Barat).
“Kita mungkin akan beri tumpuan (kepada pasaran) bahagian tertentu di Eropah, Asia dan ASEAN,” katanya selepas Majlis Iftar Ramadan, di sini, hari ini.
Semalam, Tiong memaklumkan MOTAC akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan strategi baharu mempromosikan TMM 2026, susulan konflik di Asia Barat.
Katanya, perbincangan itu akan turut membabitkan pihak berkepentingan industri pelancongan bagi meneliti perkembangan semasa, di samping menyusun semula strategi promosi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, proses perbincangan bagi penetapan strategi baharu sedang giat dijalankan.
“Memang ada terjejas (disebabkan krisis Asia Barat) ini disebabkan ruang udara ditutup (untuk negara tertentu) jadi di Asia Barat, (rakyat) mereka tak boleh bergerak.
“Disebabkan itu kita perlu susun semula strategi dan usahakan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, pada majlis iftar terbabit, MOTAC dan Tourism Malaysia meraikan delegasi dalam kalangan diplomat asing, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelancongan, penggiat industri pelancongan, dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan menggalakkan jaringan kerjasama serta interaksi dalam suasana muhibah.
Tetamu turut dijamu aneka sajian tempatan, dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional serta tayangan eksklusif video promosi TMM 2026.
Penganjuran majlis itu turut menyemarakkan semangat kebersamaan antara kerajaan, rakan diplomatik dan penggiat industri pelancongan ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi pelbagai pencapaian penting sempena Kempen TMM 2026.
Untuk rekod, Kempen TMM 2026 menyasarkan ketibaan awal 47 juta pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan sebanyak RM329 bilion.
Bulan pertama TMM 2026 menyaksikan pergerakan 9.4 juta penumpang di semua lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holding Berhad seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




