Sahabat Istimewa IWK, komuniti dirai

Sahabat Istimewa IWK, komuniti dirai

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menghimpunkan Sahabat Istimewa IWK bersama komuniti setempat serta peniaga kecil di IWK Park, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Antara wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang diraikan termasuk Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), Persatuan OKU Sentral, Persatuan Kebajikan Ahsana KL (PKAKL), National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan Yayasan Chow Kit (YCK), selain ahli komuniti setempat serta peniaga bazar.

Sebagai tanda sokongan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof turut meluangkan masa menghadiri majlis dengan menyampaikan duit raya kepada tetamu, mengunjungi peniaga kecil di Karnival Ramadan IWK dan mengagihkan 500 pek juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bertujuan mempromosikan keterangkuman, kebolehcapaian dan penyertaan bermakna dalam masyarakat.

Katanya, inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung dan komuniti setempat berkongsi juadah berbuka puasa, malah membantu meningkatkan sumber pendapatan peniaga kecil.

“Dalam ketidaktentuan geopolitik global, kami bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki bersama rakan-rakan daripada kumpulan kurang upaya dan komuniti setempat.

“Saya juga difahamkan bahawa Ramadan mengingatkan kita bahawa iftar bukan sekadar untuk menjamu selera, tetapi juga mengenai keberkatan, perkongsian, keprihatinan serta mengukuhkan semangat kekitaan.

“Kami berbesar hati dapat meraikan semangat ini bersama Sahabat Istimewa kami dan komuniti sekitar dengan berkongsi duit raya, juadah berbuka serta menyampaikan pek makanan, selain membantu para peniaga kecil,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif ini, IWK akan terus memupuk budaya keterangkuman dan keprihatinan, sekali gus memastikan semangat kasih sayang, perpaduan serta tujuan bersama dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top