Bekas diplomat dan anak bebas tuduhan edar, tanam 102 pokok ganja

Bekas diplomat dan anak bebas tuduhan edar, tanam 102 pokok ganja

Kuantan: Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini melepaskan dan membebaskan bekas diplomat, Datuk Zainal Abidin Alias dan anaknya, Mohamed Rizal daripada semua pertuduhan berkaitan pengedaran ganja seberat 989.6 gram, penyimpanan minyak ganja serta penanaman 102 pokok ganja di sebuah rumah di Janda Baik, Bentong, pada Mei 2022.

Hakim Roslan Mat Noor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainal Abidin, 82, dan Mohamed Rizal, 56, di akhir kes pendakwaan.

Peguam Muhammad Farhan Shafee, yang mewakili anak beranak itu berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh dengan memetik jurang penyiasatan yang ketara, kemustahilan dari segi topografi serta kegagalan mengaitkan tertuduh dengan barang terlarang yang ditemui di hartanah tersebut.

Beliau berkata, mahkamah menerima hujahan pembelaan bahawa 102 pokok ganja yang ditemui di hartanah tersebut tidak dapat dilihat secara fizikal dari lokasi tertuduh pertama (Zainal Abidin) semasa tangkapan dilakukan.

“Hakim menyatakan bahawa bentuk muka bumi yang beralun, cerun yang curam, dan dedaunan tropika yang lebat mewujudkan ‘zon bayang’ (shadow zone), yang menjadikannya mustahil bagi Zainal Abidin, yang ketika itu berusia 78 tahun untuk melihat atau mengetahui tentang batas penanaman tersebut dari garaj atau rumah utama,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Farhan berkata, mahkamah juga memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas premis berkenaan.

“Keterangan yang muncul semasa perbicaraan menunjukkan bahawa rumah itu tidak berkunci dan boleh diakses oleh pelbagai pihak ketiga.

“Hakim turut mengetengahkan beberapa ‘peluang yang terlepas’ oleh pasukan penyiasat yang menyebabkan penemuan mereka tidak selamat untuk diterima sebagai bukti yang kukuh,” katanya.

Beliau memaklumkan analisis forensik digital terhadap peranti milik tertuduh kedua, Mohamed Rizal yang ditangkap di Shah Alam, Selangor menunjukkan tiada komunikasi, mesej teks, panggilan atau e-mel yang menghubungkan beliau dan bapanya dengan kegiatan jenayah berkenaan.

“Mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 34 Kanun Keseksaan (niat bersama) tidak boleh digunakan untuk merapatkan jurang pembuktian yang besar ini,” katanya.

Muhammad Farhan memaklumkan mahkamah turut menyatakan bahawa kelakuan Zainal Abidin semasa serbuan polis adalah seperti individu yang memberikan kerjasama dan terkejut serta tidak menunjukkan sebarang tanda ketakutan atau cubaan untuk melarikan diri.

“Hakim merumuskan bahawa kes pihak pendakwaan hanya bersandarkan kepada syak wasangka dan bukannya keterangan yang boleh dipercayai, mahkamah memerintahkan supaya Zainal Abidin dan Mohamed Rizal dibebaskan dan dilepaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Selain Muhammad Farhan, kedua-dua tertuduh diwakili Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Wee Yeong Kang dan M Naresh, manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail, Intan Nur Hilwani Rifin dan Nur Syafiqah Noorinda.

Mengikut pertuduhan, Zainal Abidin dan Mohamed Rizal didakwa bersama-sama mengedar ganja seberat 989.6 gram di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dua beranak itu juga didakwa atas pertuduhan menyimpan minyak ganja seberat 60 mililiter pada tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(2) akta sama iaitu penjara tidak lebih lima tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa bersama-sama telah menanam sejumlah 102 pokok ganja di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei 2022, mengikut Seksyen 6B ADB 1952 (Akta 234) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top