Palace buntu di Selhurst Park

Palace buntu di Selhurst Park

LONDON: Crystal Palace terpaksa menerima hakikat keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan AEK Larnaca dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Konferensi Europa di Selhurst Park, awal pagi tadi.

Beraksi dalam keadaan hujan serta angin kencang, skuad kendalian Oliver Glasner tetap menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun gagal memecah kebuntuan gawang wakil Cyprus itu.

Malah, Palace sekali lagi buntu menentang AEK Larnaca selepas turut tewas 0-1 kepada lawan sama pada pertemuan fasa liga sebelum ini.

Penyerang Perancis, Jean-Philippe Mateta membuat kemunculan semula sebagai pemain gantian lewat permainan, penampilan pertamanya sejak 25 Januari selepas perpindahannya ke AC Milan tidak menjadi kenyataan susulan kebimbangan mengenai kecederaan lutut.

Keputusan itu menyaksikan Palace perlu berdepan tugas lebih mencabar apabila bertandang ke Cyprus minggu depan bagi aksi timbal balik yang bakal menentukan nasib mereka dalam kempen Eropah musim ini.

Jika berjaya melangkah ke suku akhir, Palace berpotensi bertemu kelab Itali, Fiorentina yang menewaskan Raków Częstochowa 2-1 di Florence hasil sepakan penalti pada masa kecederaan.

Sementara itu, Strasbourg terus mengekalkan rekod tanpa kalah di pentas Eropah musim ini selepas menundukkan Rijeka 2-1 di tempat lawan.

Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Troy Parrott pula muncul wira AZ Alkmaar apabila meledak dua gol untuk membantu kelab Belanda itu menewaskan Sparta Prague 2-1.

Dalam satu lagi aksi, Rayo Vallecano menewaskan Samsunspor 3-1 di Turkiye, manakala AEK Athens hampir pasti menempah slot suku akhir selepas membelasah NK Celje 4-0.

Shakhtar Donetsk pula membawa pulang kemenangan 3-1 dari gelanggang Lech Poznan, sementara Mainz 05 terikat tanpa jaringan ketika menentang Sigma Olomouc.-AGENSI

Scroll to Top