SPRM Kedah kemuka enam syor perkukuh pengurusan JHEAIK

SPRM Kedah kemuka enam syor perkukuh pengurusan JHEAIK

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengemukakan enam syor penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bagi memperkukuh sistem pengurusan serta meningkatkan ketelusan dalam beberapa prosedur pentadbiran jabatan itu.

Syor berkenaan membabitkan tatacara pengambilan Guru Jabatan, Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), Guru Taman Didikan Kanak-Kanak Islam serta prosedur penerimaan sumbangan daripada pihak luar.

Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian berkata, cadangan itu dibentangkan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap amalan, sistem serta tatacara berkaitan.

Katanya, cadangan itu dikemukakan kepada Bahagian Pendidikan JHEAIK.

“Selain itu, kita turut mencadangkan supaya peranan Jawatankuasa Pelantikan Guru JHEAIK ditambah baik serta Borang Akuan Bebas Konflik Kepentingan diperkemas bagi mengelakkan sebarang pertindihan kepentingan.

“Kita juga mencadangkan supaya pangkalan data bagi mengurus dan menyimpan rekod Guru Jabatan serta Guru Taman Didikan Kanak-Kanak Islam dikemas kini bagi memastikan pengurusan maklumat lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan syor berkenaan kepada Pengarah JHEAIK, Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin di pejabat jabatan itu di sini, baru-baru ini.

Turut hadir pegawai Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Kedah iaitu E Mey E Boon Him, Rohaya Osman dan Mohd Syafiq Mazlan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top