Tiket bas masih ada, ke Kelantan hampir 'licin'

Tiket bas masih ada, ke Kelantan hampir 'licin'

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiket perjalanan bagi perkhidmatan bas ekspres ke destinasi utama di seluruh negara sebelum Hari Raya Aidilfitri masih boleh didapati di Terminal Bersepadu Selatan (TBS)

Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan tiket perjalanan ke destinasi utama di seluruh negara seperti timur, utara dan selatan masih boleh didapati bagi mereka yang mahu pulang beraya.

Namun beberapa kawasan di pantai timur seperti Kelantan, jumlah tiket yang ada hampir habis dijual dan waktu untuk bertolak dari TBS juga tidak mempunyai pilihan.

Antara destinasinya ialah seperti ke Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas, Kelantan di mana tiket yang ada hanyalah pada jam 10 dan 11 malam pada 17 Mac manakala bagi tarikh 18 dan 19 Mac sudah habis dijual.

Selain itu, tiket bas untuk ke Pasir Puteh, Kelantan juga kesemuanya sudah habis dijual bagi 17 hingga 19 Mac.

Manakala tiket untuk ke kawasan pantai timur lain seperti Terengganu dan Pahang bagi tarikh perjalanan 17 hingga 19 Mac masih lagi boleh didapati.

Bagi laluan ke utara pula, tiket ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga masih banyak tersedia, selain beberapa destinasi mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Selain itu, bagi tiket bas laluan ke selatan tanah air, kebanyakan destinasi masih boleh dibeli.

Bagaimanapun, permintaan tiket bas dijangka meningkat mulai minggu depan apabila lebih ramai perantau mula merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top