PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli terhadap spekulasi yang tersebar di media sosial berhubung penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam.
Baginda bertitah, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, 19 Mac 2026 selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, selaras amalan dan ketetapan yang telah dilaksanakan sekian lama di negara ini.
Baginda menyeru semua pihak agar bersabar dan jangan mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas serta berharap semua pihak membaca dan menghadam kenyataan dibuat Jabatan Mufti Negeri Selangor dan khutbah Jumaat berhubung perkara itu.
“Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan awal bulan Ramadan dan Syawal melalui rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur dan berpandukan keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.
“Kaedah ini telah diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dipengaruhi penetapan negara lain,” titah Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah hari ini.
Baginda bertitah, sebagaimana penjelasan terbaharu daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac 2026, permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara.
“Setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza. Khutbah Jumaat bertarikh 13 Mac 2026 turut menegaskan kaedah penentuan awal bulan Syawal dan menasihatkan umat Islam menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam supaya tidak terlalu fokus kepada perbincangan tarikh Hari Raya Aidilfitri sehingga mengabaikan sepuluh malam terakhir Ramadan yang merupakan tempoh berharga untuk memperbanyak ibadah, doa dan memohon keampunan daripada Allah. – UTUSAN




