firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC (KL City) mencipta sejarah tersendiri dalam Liga Super apabila hanya menurunkan 10 pemain dalam kesebelasan utama bagi aksi menentang Kuching City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Lebih mengejutkan, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh terpaksa memulakan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain berbanding Kuching City selepas senarai kesebelasan utama dimuat naik kira-kira sejam sebelum sepak mula.
Di posisi penjaga gol, Quincy Kammerad diberi tanggungjawab mengawal gawang The City Boys dengan dibantu lima pertahanan iaitu Giancarlo Gallifuoco, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq, Adam Nor Azlin dan Kamal Azizi.Kapten pasukan, Paulo Josue pula mengetuai jentera serangan, manakala tiga pemain tengah iaitu J Parthiban, Kenny Pallraj dan S Sharvin melengkapkan barisan utama.
Fazrul Amir pula disenaraikan di bangku simpanan, sekali gus menjadikan KL City hanya mempunyai seorang pemain gantian bagi perlawanan berkenaan.
Situasi itu berlaku selepas KL City sebelum ini berdepan masalah pendaftaran pemain susulan Larangan Pendaftaran Pemain yang dikenakan FIFA berkaitan beberapa kes tunggakan dengan bekas pemain import.
Terdahulu, KL City mendapat kelulusan khas daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kira-kira tiga jam sebelum sepak mula untuk mendaftarkan minimum 12 pemain bagi aksi menentang Kuching City.
Kelulusan itu diberikan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meluluskan permohonan rasmi KL City berhubung status pendaftaran pemain kelab berkenaan.
Dalam surat rasmi bertarikh 26 Ogos 2026, KL City memaklumkan pihak kelab sudah menyelesaikan tunggakan bayaran kepada tiga bekas pemain import.
Bagaimanapun, kelab itu masih menunggu proses kelulusan FIFA bagi menarik balik Perintah Larangan Perpindahan Pemain yang dikenakan terhadap mereka.
Keadaan itu turut menyaksikan beberapa pemain baharu yang sepatutnya memperkuatkan pasukan gagal didaftarkan untuk aksi malam ini, sekali gus memaksa Dollah Salleh merencana strategi dengan barisan pemain yang amat terhad.
Dengan hanya 10 pemain diturunkan sejak awal permainan, KL City kini berdepan tugas luar biasa untuk mengharungi aksi Liga Super berkenaan menentang Kuching City.
© New Straits Times Press (M) Bhd
