Raya Jumaat Depan? Sultan Selangor Tidak Berkenan Ramalan Membuta Tuli

Raya Jumaat Depan? Sultan Selangor Tidak Berkenan Ramalan Membuta Tuli

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini membuat teguran keras berhubung spekulasi tarikh Aidilfitri tahun ini akan jatuh pada Jumaat depan sebagaimana yang tular di media sosial.

Sultan Sharafuddin menegaskan baginda tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli seumpamanya yang seolah-olah boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak agar bersabar dan jangan mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas.

“Baca dan hadamkan kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara ini.

“Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada hari Khamis, 19 Mac 2026, setelah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, seperti mana amalan dan ketetapan yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal bulan Ramadan dan Syawwal yang tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.

Titah baginda, kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara-negara lain.

“Sebagaimana penjelasan terbaharu daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac 2026, bahawa permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) dan data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di sesuatu negara.

“Setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza. Khutbah Jumaat bertarikh 13 Mac 2026 turut menyatakan kaedah-kaedah penentuan awal bulan Syawwal dan menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berautoriti,” titah baginda.

Baginda juga menyeru umat Islam agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan daripada memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan, yang merupakan tempoh yang amat berharga untuk memperbanyakkan ibadah, doa dan memohon keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.


Scroll to Top