am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas kereta dipandu neneknya kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 8.4 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku pada 1.45 tengah hari membabitkan Perodua Myvi dan Perodua Alza.
Katanya, perodua Myvi dipandu wanita berusia 50 tahun dan terdapat penumpang lelaki berumur 26 tahun dan kanak-kanak lapan tahun, sementara Perodua Alza dipandu wanita berusia 61 tahun dengan cucu lelakinya yang berusia lima tahun sebagai penumpang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi disyaki memasuki laluan bertentangan dan bertembung Perodua Alza yang datang dari arah Temenin menghala Kota Tinggi.
“Akibatnya, kanak-kanak yang duduk di kerusi penumpang belakang Perodua Alza parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
© New Straits Times Press (M) Bhd




