am@hmetro.com.my
Butterworth: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa pihak yang menyebar fitnah mendakwa sesi libat urus bersama pemegang taruh tadika swasta diadakan di dalam gereja supaya tampil memohon maaf.
Katanya, kenyataan itu disifatkan berniat jahat dan telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat sekali gus mencemarkan keharmonian.
“Sebenarnya, program itu diadakan di sebuah sekolah antarabangsa, di mana berlakunya satu sesi libat urus bersama pemegang taruh prasekolah (tadika) swasta, yang mana sesi itu berlaku dalam dewan dan bukan sesuatu yang didakwa iaitu gereja.
“Oleh sebab itu saya tegaskan, ini bulan Ramadan dan apa sahaja fitnah dan juga berita-berita yang cuba mengganggu gugat soal yang terkait rapat dengan keharmonian dan juga membangkitkan rasa marah dan salah faham dalam masyarakat, tidak boleh dibiarkan.
“Saya ambil pendekatan tegas dalam hal ini kerana tidak mahu kita terpalit dengan isu-isu, baik isu ketegangan agama mahupun kaum dan sebab itu saya minta untuk pihak yang membuat fitnah itu tampil dan membuat permintaan maaf kerana apa yang didakwa, langsung tidak benar dan ia adalah satu kenyataan yang sangat jahat,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani Ihya Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) di di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Menurutnya lagi, setakat ini tiada tindakan lanjut akan diambil sebaliknya beliau mahu pihak yang berkenaan mengemuka permohonan maaf.
Terdahulu tular di media sosial, hantaran dimuat naik individu yang mengecam tindakan mengadakan sesi libat urus yang kononnya diadakan di dalam gereja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




