Gajah pilih Mexico menang aksi pertama, Gorila turut buat ramalan

Gajah pilih Mexico menang aksi pertama, Gorila turut buat ramalan

Guadalajara: Dua ekor gajah di Zoo Guadalajara, Mexico menjadi perhatian apabila digunakan dalam satu aktiviti unik untuk meramalkan keputusan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026.

Dalam acara yang mencuit hati itu, kedua-dua gajah berkenaan berjalan di atas padang bola sepak mini yang dibina khas sebelum diberikan pilihan untuk menuju ke kawasan rumput yang dihiasi bendera Mexico atau Afrika Selatan.

Tidak mengambil masa lama, haiwan berkenaan memilih kawasan yang mewakili Mexico sekali gus ‘meramalkan’ tuan rumah itu akan muncul pemenang dalam aksi pembukaan Piala Dunia pada 12 Jun nanti.

Aktiviti itu mengimbau kembali fenomena Paul the Octopus yang menjadi sensasi dunia ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

“Ideanya adalah untuk membolehkan haiwan-haiwan ini membuat ramalan mengenai beberapa perlawanan yang akan berlangsung,” kata penjaga zoo, Ivan Reynoso.

Selepas gajah, giliran dua ekor gorila bernama Chenchi dan Faustina pula membuat pilihan.

Mereka diberikan dua rekaan kertas keras berbentuk jersi pemain mewakili Sepanyol dan Uruguay.

Selepas beberapa ketika, salah seekor gorila memilih jersi Uruguay, seolah-olah meramalkan negara Amerika Selatan itu akan menewaskan Sepanyol pada perlawanan 27 Jun.

“Jelas siapa yang menang!” jerit salah seorang penjaga zoo dengan penuh teruja.

Sementara itu, seekor puma bernama Muluk pula memilih Korea Selatan sebagai pemenang ke atas Republil Czech.

Menurut Reynoso, aktiviti berkenaan bukan sahaja menghiburkan pengunjung yang semakin teruja menantikan Piala Dunia, malah memberi rangsangan kepada haiwan terbabit.

“Aktiviti seperti ini merangsang pelbagai deria haiwan. Ia bukan sahaja menarik untuk tontonan pengunjung, malah memberi manfaat kepada haiwan itu sendiri.

“Ia membantu memperkayakan aktiviti harian mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top