EainYow, Sivasangari kini galas misi raih emas pertama di Sukan Olimpik.

EainYow, Sivasangari kini galas misi raih emas pertama di Sukan Olimpik.

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Kejayaan mempertahankan emas Sukan Asia Aichi-Nagoya membuka pintu buat Ng Eain Yow dan S Sivasangari merealisasikan impian yang lama dinantikan apabila skuasy akhirnya mendapat tempat di Sukan Olimpik.

Kedua-dua pemain negara tampil dominan minggu ini apabila tidak kehilangan satu set sepanjang kempen sebelum menjuarai acara masing-masing di Nagoya Kinjo Futo Arena, semalam.

Eain Yow menewaskan Abhay Singh dari India dalam final lelaki, manakala Sivasangari mengatasi rakan senegara Abhay, Anahat Singh pada final wanita untuk mengesahkan emas buat Malaysia.

Kejayaan itu membolehkan mereka secara automatik menempah tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, selain membantu kontinjen negara mencapai sasaran enam emas di Aichi-Nagoya.

Lebih bermakna, pencapaian itu hadir selepas beberapa generasi pemain terdahulu, termasuk legenda negara dan juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik.

Skuasy hanya diterima masuk ke dalam program Olimpik pada 2023 dan bakal membuat penampilan sulung di Los Angeles 2028.

“Ini sangat istimewa dan bukan hanya untuk saya. Ketika di sekolah, rakan sekelas selalu memberitahu saya bahawa suatu hari nanti saya akan ke Olimpik, tetapi saya tidak pernah mengambilnya serius kerana semua senior saya yang hebat tidak pernah mendapat peluang,” kata Eain Yow.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mahu menjadikan kejayaannya sebagai inspirasi kepada generasi muda sambil mengakui tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas Olimpik kini berada di bahunya.

“Saya mahu menunjukkan kepada pemain muda dan junior di Malaysia bahawa impian ini boleh dicapai dan kami perlu terus bermimpi besar. Hari ini saya menang, tetapi ini baru permulaan,” katanya.

Eain Yow turut mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada ibunya, Low Soo Goon yang mengidap leukemia sejak hampir dua tahun lalu.

“Ibu, kamu insan paling kuat yang pernah saya kenali dan kamu terus memberi inspirasi kepada saya. Saya sayangkan ibu,” katanya dalam nada sebak.

Sivasangari yang kini berada di ranking dunia kelima pula menganggap tiket Olimpik sebagai pencetus semangat untuk mengejar sasaran lebih tinggi.

“Ini memang impian yang menjadi kenyataan, tetapi saya mahu bekerja lebih keras, memperbaiki ranking dan berada dalam kelompok tiga terbaik menjelang penghujung musim.

“Harap saya mampu mencapainya, kemudian menjadi pemain nombor satu dunia dan memenangi emas Olimpik,” katanya.

Kedua-dua pemain yang berada dalam program Road to Gold (RTG) turut mengakui sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara banyak membantu perjalanan mereka.

Selepas tamat saingan individu, Eain Yow dan Sivasangari kini akan meneruskan kempen dalam acara berpasukan lelaki dan wanita, dengan Malaysia selaku juara bertahan acara berpasukan wanita selain gangsa kategori lelaki di Sukan Asia Hangzhou.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top