am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mahu parti mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan keahlian beberapa ahli tanpa syarat bagi memperkukuh perpaduan dalam parti.
Maulizan yang digantung keahliannya oleh parti berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan sekiranya kepimpinan parti berpendapat UMNO tidak mampu berpecah dan terus lemah.
Katanya, ahli yang digantung sebenarnya masih berstatus sebagai ahli parti, namun hak mereka sebagai ahli dinafikan sepanjang tempoh penggantungan.
“Tidak perlu ada syarat untuk memohon atau merayu kerana mereka yang digantung masih lagi ahli parti, cuma hak sebagai ahli dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.
Maulizan yang juga Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram dan sudah lebih 40 tahun bersama UMNO berharap semua pihak dapat mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan usaha penyatuan parti.
“Insya-Allah kami juga tidak memerlukan ‘karpet merah’ sekiranya ingin kembali kepada UMNO,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




