am@hmetro.com.my
Selepas tiga tahun mengukuhkan nama dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, Najmi Niery tampil dengan buah tangan sulung sempena Aidilfitri berjudul ‘Best Part Of Raya’.
Menariknya, lagu yang menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi Adrianna Cinta itu membawa konsep unik apabila menterjemahkan naskhah berkenaan seperti ‘sepucuk surat cinta’ dalam bentuk melodi.
Najmi berkata, idea menghasilkan lagu raya itu datang secara tiba-tiba sebelum direalisasikan bersama barisan komposer iaitu Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui.
“Lagu ini dihasilkan sebagai sebuah ‘surat cinta’ yang menggambarkan luahan hati sepasang kekasih yang saling merindui dan tidak sabar untuk bertemu pada pagi 1 Syawal.
“Hari Raya adalah hari kemenangan selepas sebulan kita berpuasa dan ia detik paling istimewa untuk diraikan bersama insan tersayang,” katanya pada sidang media pelancaran single berkenaan di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Aiman Nubailah dan Pengurus Kanan Operasi Aeon Mall, S Vettrivelu.
Mengulas lanjut, Najmi berkata, lagu itu mula ditulis sejak Oktober tahun lalu dengan mendahulukan susunan ‘chord progression’ sebelum melodi menyusul.
“Setiap penulis ada gaya tersendiri, namun bagi saya, melodi akan datang secara semula jadi selepas adanya ‘chord progression’. Selepas itu barulah kami bekerjasama menyiapkan liriknya,” katanya.
Mengenai pemilihan pasangan duet, Najmi mengakui pada mulanya dia tidak mengetahui siapa sehinggalah nama Adrianna diusulkan.
“Saya terus bersetuju sebaik saja nama Adrianna dicadangkan kerana tahu dia seorang penyanyi dan komposer yang berbakat serta banyak menghasilkan lagu bersama komposer lain.
“Suaranya cukup menenangkan dan sangat kena dengan tone suara saya. Dia sememangnya pasangan duet yang paling tepat untuk naskhah ini,” katanya.
Sementara itu, bagi Adrianna pula, walaupun mereka pernah bertemu di beberapa acara nyanyian sebelum ini, dia tidak menyangka akan digabungkan dalam satu karya yang sama.
“Kami berdua sebenarnya memiliki ‘vibes’ muzik yang serupa iaitu ke arah Pop R&B Indonesia. Najmi memang ke arah itu, begitu juga saya.
“Apabila kami digabungkan dalam ‘Best Part Of Raya’, ia menjadi satu kombinasi yang cukup baik dan sesuai,” katanya.
Katanya, peluang bekerjasama dengan Najmi dalam keadaan berpuasa adalah satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan sepanjang kerjayanya.
“Waktu saya terima lagu itu, Najmi sudah siapkan bahagian dia. Jadi saya perlu masuk studio pada bulan puasa dan ditemani Najmi.
“Paling mencabar apabila kami perlu berpindah ke lokasi penggambaran lain pada saat-saat akhir. Kami semua memang tak sempat nak berbuka puasa dengan betul,” kongsinya.
Pada majlis sama, seramai 30 anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari yang diraikan turut menerima duit raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




