am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pejabat MCA di bangunan berusia 70 tahun di Jalan Nipah, Yong Peng musnah dalam kebakaran malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 8.28 malam dan dua jentera bergegas ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan 80 peratus struktur bangunan terbabit. Sebaik tiba, operasi pemadaman segera dilakukan dan api berjaya dikawal tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat dan punca kejadian serta jumlah kerugian dalam siasatan.
Operasi tamat pada 9.56 malam, katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri itu berkata, bangunan terbabit merupakan pusat aktiviti MCA dan merupakan bangunan ikonik berusia 70 tahun di Yong Peng.
“Saya melalui lokasi terbabit pada 8.30 malam, namun tidak lihat ada kebakaran. Kira-kira 15 minit selepas itu, saya menerima panggilan mengenai kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




