
Datuk Seri Windsor Paul John
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status pendaftaran pemain warisan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC.
“Bagi pihak AFC, kami menerima keputusan yang dibuat oleh MFL kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia. Keputusan itu dibuat dengan disokong Artikel-Artikel Pertandingan MFL maka keputusan MFL itu sepatutnya tiada masalah.
“Malah peraturan itu juga telah dimaklumkan kepada semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia jadi semua pihak sudah sedia maklum mengenai peraturan itu,” katanya.
Windsor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan MFL yang mengesahkan bahawa pendaftaran tiga pemain warisan daripada JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero sebagai pemain tempatan adalah mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025-2026.
Keputusan MFL itu dengan merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan passport berwarna.
Perkara ini turut dijelaskan menerusi surat perkeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemaskini dan dimuatnaik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing.
Empat pemain itu telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan Liga Malaysia 2025-2026.
Justeru MFL mengesahkan tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab mereka pada musim ini.
Bagaimanapun empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang telah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.
Ringkasan AI
- SETIAUSAHA Agung AFC menyatakan tiada isu dengan keputusan MFL mengenai pendaftaran pemain warisan JDT dan Kuching City FC
- MFL mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dalam pengesahan pendaftaran pemain
- Peraturan telah dimaklumkan kepada semua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia
- Empat pemain telah mendaftar sebagai pemain tempatan mengikut peraturan dengan menggunakan kad pengenalan sah
- Tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran pemain oleh kelab mereka, namun mereka masih terkena penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA dan CAS



