Konflik Asia Barat: Mufti Wilayah nasihat umat Islam tangguh umrah demi keselamatan

Konflik Asia Barat: Mufti Wilayah nasihat umat Islam tangguh umrah demi keselamatan

Umat Islam diingatkan supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan berisiko di Asia Barat sehingga keadaan keselamatan kembali stabil, susulan ketegangan konflik yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran.

Memetik perkongsian di laman web rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Muftinya, Ahmad Fauwaz Fadzil menyatakan langkah itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) apabila keselamatan tidak terjamin.

Demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat

Menurutnya, setiap keputusan pihak berkuasa perlu berpaksikan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat, dan sekiranya perjalanan ke Tanah Suci selamat, ibadah umrah atau haji boleh diteruskan seperti biasa.

“Justeru, sekiranya pihak berkuasa memutuskan perjalanan ke Tanah Suci masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal, maka umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah atau haji seperti biasa.
“Sebaliknya, sekiranya keadaan keselamatan didapati tidak terjamin, maka penangguhan perjalanan itu adalah satu langkah yang selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs),” katanya.

Sentiasa merujuk maklumat rasmi

Dalam pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan umat Islam supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi daripada pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar, yang bertanggungjawab memantau keselamatan antarabangsa dan mengeluarkan nasihat perjalanan.

Ahmad Fauwaz menjelaskan bahawa penilaian semula terhadap syarat istita’ah, termasuk jaminan keselamatan nyawa dan harta benda, kini menjadi keperluan mendesak.

“Sekiranya keadaan perjalanan tidak lagi selamat atau terdapat ancaman yang boleh memudaratkan nyawa, maka syarat kemampuan bagi menunaikan ibadah itu dianggap tidak sempurna,” katanya.

Artikel lain: Konflik Asia Barat: Umat Islam diseru baca Qunut Nazilah, Solat Hajat demi keamanan- Menteri Agama

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu.

Kerajaan telah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara Asia Barat bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang konflik yang masih berlanjutan.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Scroll to Top