KUALA LUMPUR – Pendekatan pertahanan negara tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kekuatan aset ketenteraan seperti pesawat pejuang, kapal perang atau kelengkapan persenjataan.Sebaliknya ia perlu diperkukuh menerusi pembangunan modal insan, penguasaan teknologi serta pemupukan semangat patriotisme bagi menghadapi cabaran keselamatan masa depan.Hakikat itu menjadi teras kepada Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 yang dilancarkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai dokumen strategik untuk membentuk keupayaan warga pertahanan negara sepanjang tempoh lima tahun akan datang.Ketua Eksekutif Institut Pertahanan & Keselamatan Malaysia (MiDAS), Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar berkata, RTKP bukan disediakan sebagai pelan pembelian aset ketenteraan baharu, sebaliknya menggariskan hala tuju pembangunan sumber manusia secara menyeluruh bagi memastikan sektor pertahanan negara mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks.Beliau berkata, perubahan persekitaran keselamatan dunia hari ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh kerana ancaman yang dihadapi bukan lagi bersifat konvensional semata-mata.Jelasnya, Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dilaksanakan pada tahun 2025 mendapati landskap keselamatan global dan serantau semakin mencabar serta tidak menentu, sekali gus memerlukan Malaysia menyesuaikan strategi pertahanannya mengikut perkembangan semasa.”Ancaman yang dihadapi kini merangkumi serangan siber, peperangan hibrid, perubahan iklim serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), yang memerlukan negara membina kapasiti pertahanan melalui pembangunan sumber manusia yang mampan,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, pembangunan modal insan yang sistematik penting bagi melahirkan warga pertahanan yang bukan sahaja cekap melaksanakan tugas, malah mampu berinovasi, menguasai teknologi moden dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.Tiga teras RTKP kukuhkan kapasiti pertahanan negaraMengulas mengenai pelaksanaan RTKP, beliau berkata, tiga teras utama diperkenalkan bagi memastikan pembangunan kapasiti pertahanan negara dilaksanakan secara holistik.”Teras pertama memberi penekanan kepada pemerkasaan modal insan melalui usaha meningkatkan keberkesanan pembangunan sumber manusia kementerian menerusi latihan yang lebih holistik, pemerkasaan akta dan dasar berkaitan serta pelestarian tenaga kerja,” katanya.Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan sektor pertahanan memiliki tenaga kerja yang kompeten, berpengetahuan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap keselamatan yang semakin dinamik.Dalam masa sama, katanya, teras kedua RTKP turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.”Usaha itu akan digerakkan menerusi pengukuhan nilai kenegaraan dan pelaksanaan kempen kesedaran nasional supaya setiap lapisan masyarakat memahami bahawa tanggungjawab mempertahankan negara merupakan amanah bersama. Selain itu, katanya, teras ketiga pula memberi fokus kepada revolusi sains dan teknologi dengan menumpukan usaha membangunkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta industri pertahanan.”Usaha ini akan dipacu melalui pelaksanaan program makmal inovasi, penawaran biasiswa STEM dan kerjasama strategik bersama industri di peringkat tempatan serta antarabangsa.”Melalui pendekatan ini, kementerian berhasrat memastikan negara bukan sahaja mempunyai sumber kewangan dan kapasiti institusi yang kukuh, malah memiliki kepakaran teknologi serta modal insan berkemahiran tinggi untuk menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan,” katanya lagi.Keunikan RTKPYusne berkata, antara keunikan RTKP ialah pelaksanaannya berasaskan pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS), yang memperlihatkan usaha mempertahankan negara bukan lagi menjadi tanggungjawab eksklusif Angkatan Tentera Malaysia (ATM).Sebaliknya, katanya, pendekatan itu turut membabitkan angkatan sukarela, veteran ATM, kakitangan awam sektor pertahanan serta seluruh rakyat Malaysia menerusi kerangka Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).Beliau berkata, penyertaan lima kumpulan itu mencerminkan aspirasi Kertas Putih Pertahanan untuk mewujudkan sebuah negara yang makmur, berdaulat dan selamat melalui penyertaan menyeluruh semua pihak.”Melalui RTKP 20262030, pembangunan modal insan, penguasaan teknologi serta penyertaan seluruh masyarakat dijadikan asas dalam memastikan Malaysia memiliki keupayaan pertahanan yang lebih mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran keselamatan pada masa depan,” tambah beliau.



