Seattle: Jurulatih Senegal, Pape Thiaw menyifatkan bola sepak sebagai ‘kejam’ selepas pasukannya melepaskan kelebihan dua gol sebelum tewas 2-3 kepada Belgium menerusi masa tambahan pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Senegal tampak berada di landasan tepat untuk mara ke pusingan 16 terbaik apabila mendahului 2-0 sehingga minit ke-85.
Bagaimanapun, Belgium bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol dalam tempoh tiga minit sebelum Youri Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung masa tambahan untuk memastikan kemenangan dramatik.
Thiaw turut mempersoalkan keputusan pengadil menghadiahkan penalti kepada Belgium selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Lamine Camara mengasari Tielemans di dalam kotak penalti.
“Kami percaya itu bukan penalti. Pemain berhak mempersoalkan keputusan itu.
“Namun penalti itu tetap diberikan dan akhirnya menjadi punca kami tersingkir,” katanya.
Menurut Thiaw, Senegal sepatutnya mempertahankan kelebihan yang dimiliki ketika hanya berbaki beberapa minit permainan.
“Perlawanan bola sepak bukan berlangsung selama 85 minit. Belgium bangkit dan kami gagal menghadapinya,” katanya.
Pertahanan Senegal, Krepin Diatta, mengakui pasukannya hilang fokus ketika Belgium meningkatkan asakan pada penghujung permainan.
“Kami mahu mencipta sejarah di Piala Dunia ini, namun kami gagal melaksanakan misi itu.
“Berdasarkan persembahan kami, kami sebenarnya tidak sepatutnya tewas,” katanya.
Sebelum kejohanan ini, Senegal turut mencetuskan kontroversi apabila dilucutkan gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) susulan tindakan pemain meninggalkan padang sebagai membantah keputusan penalti ketika aksi final menentang Maghribi pada Januari lalu.
Belgium akan berdepan pemenang antara Amerika Syarikat dan Bosnia-Herzegovina pada pusingan 16 terbaik Selasa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




