am@hmetro.com.my
Batu Kawan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini, sebagai platform menyemai mesej perpaduan, keamanan dan persaudaraan antara peserta dari seluruh dunia.
Anwar berkata, penyertaan delegasi luar negara dalam jambori itu memberi peluang kepada peserta tempatan dan antarabangsa saling mengenali, mempelajari ilmu selain menghormati perbezaan masing-masing.
Beliau berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan bagi memahami mesej perpaduan dalam kepelbagaian, keamanan serta semangat persaudaraan antara negara.
“Gunakan peluang ini, baik untuk rakyat Malaysia mahupun peserta dari luar negara, untuk saling belajar, menghormati antara satu sama lain serta memahami mesej perpaduan dalam kepelbagaian, keamanan dan persaudaraan antara semua negara di dunia.
“Kita harap anak-anak dari Malaysia beri contoh terbaik kepada anak-anak yang hadir dari negara lain. Program ini menunjukkan kehebatan anak-anak kita yang menunjukkan kepada dunia bahawa Pengakap Malaysia mampu mengangkat (nama) negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jambori itu mempunyai tujuan lebih besar dalam membentuk generasi muda yang mempunyai disiplin, memahami peranan mereka dalam masyarakat serta mempunyai semangat untuk berkhidmat kepada golongan kurang bernasib baik.
Katanya, jambori berkenaan bukan acara biasa kerana ia menjadi wadah mencungkil bakat, membina semangat dan perpaduan serta memahami sejarah, latar belakang dan warisan.
“Ini satu acara yang hebat dan bukan Jambori biasa. Ia Jambori yang mempunyai tujuan memupuk tabiat positif dalam kalangan golongan muda, termasuk bekerja, berdisiplin, memahami peranan dalam masyarakat, berkhidmat kepada mereka yang kurang bernasib baik, berkhidmat kepada manusia serta mempunyai empati dan belas kasihan.
“Kelainannya bukan pada apa yang kita pamerkan, tetapi pada semangat disiplin, berkhidmat kepada semua dan menunjukkan kasih sayang kepada semua daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perkembangan dunia yang kini memasuki era teknologi maklumat digital dan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya menyebabkan generasi muda terpisah daripada akar budaya, sejarah dan warisan.
Menurutnya, perubahan yang berlaku perlu disertai pembentukan disiplin, semangat dan nilai kemanusiaan.
“Daripada dunia dengan teknologi rendah kepada teknologi maklumat digital dan AI, dalam kita membawa perubahan itu, kita tidak boleh terlepas daripada akar budaya kita dan inilah yang menjadi tema dalam Jambori kali ini,” katanya yang turut menceritakan bahawa beliau juga menyertai pengakap ketika zaman persekolahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

