Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara, S Sivasangari kini selangkah untuk meraih gelaran pertama dalam tempoh 13 bulan selepas mara ke final Terbuka Australia 2026 di Brisbane hari ini.
Pilihan utama kejohanan itu mengambil masa 50 minit untuk menewaskan pemain Belgium yang juga pilihan keempat Nele Gilis, 11-8, 13-11, 11-4 dalam aksi separuh akhir di gelanggang kaca South Bank Piazza.
Keputusan itu menyaksikan Sivasangari, 27, pemain nombor enam dunia menyamakan rekod pertemuan dengan Gilis 4-4.
Pemain nombor satu Malaysia itu akan menentang sama ada pilihan kedua, Tinne Gilis dari Belgium atau pilihan ketujuh dari Amerika Syarikat (AS) Marina Stefanoni dalam pertarungan bagi menentukan juara kejohanan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berstatus emas esok.
Kali terakhir Sivasangari menaiki podium adalah pada Kejohanan Piala Cincinnati Gaynor 2025, selepas menewaskan Amanda Sobhy dari Mesir, 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4.
© New Straits Times Press (M) Bhd




