MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pelantikan beberapa tokoh sukan sebagai ketua kontinjen negara (CDM) bagi mengetuai penyertaan Malaysia ke beberapa temasya sukan utama.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dilantik sebagai CDM ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, manakala Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan pula akan mengetuai kontinjen negara ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Selain itu, MOM turut mengumumkan Presiden Taekwondo Malaysia (WT), Azizul Annuar Adenan dan Presiden Persatuan Tinju Malaysia, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli sebagai ketua kontinjen bersama bagi Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Datuk Chong Kim Fatt dilantik sebagai CDM bagi Sukan Pantai Asia 2026 di Sanya, China, manakala bekas atlet wushu kebangsaan, Wong Weng Son akan mengetuai kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal.
Menurut kenyataan MOM, pelantikan tersebut dibuat susulan cadangan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM pada Selasa lalu dan telah menerima pengesahan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
“MOM telah mendapat penerimaan dan pengesahan daripada Menteri Belia dan Sukan bagi pelantikan CDM untuk temasya sukan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap semua ketua kontinjen yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan penyertaan kontinjen Malaysia dalam temasya berjalan lancar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohammed Taufiq atas sokongan serta pengesahan terhadap pelantikan barisan CDM tersebut.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Dr Mohammed Taufiq atas penerimaan dan pengesahan beliau terhadap pelantikan CDM bagi kontinjen Malaysia,” katanya.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan diadakan dari 19 September hingga 4 Oktober.
Bagi temasya lain, Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September, Sukan Pantai Asia 2026 dari 22 hingga 30 April, manakala Sukan Olimpik Remaja 2026 akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 13 November.
INFO
Sukan Pantai Asia Ke-6 Sanya 2026 (22 – 30 April 2026)
Datuk Dr Chong Kim Fatt
• Naib Presiden OCM
• Presiden Persekutuan Wushu Malaysia
• Presiden Persekutuan Wushu ASEAN-China
• Naib Presiden Persekutuan Wushu Asia
• Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wushu Antarabangsa
Sukan Komanwel Ke-23 Glasgow 2026 (23 Julai – 2 Ogos 2026)
Datuk Awalan Abdul Aziz
• Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia
• Presiden Persekutuan Lawn Bowls Asia
• Duta Serantau Asia, World Bowls
Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026 (19 September – 4 Oktober 2026)
Datuk Mohd Sumali Reduan
• Naib Presiden OCM
• Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia
• Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa
Sukan Olimpik Remaja Ke-4 Dakar 2026 (31 Oktober – 13 November 2026)
Wong Weng Son (Wushu)
• Kejohanan Dunia (2 emas, 8 perak, 1 gangsa)
• Piala Dunia (3 emas)
• Kejohanan Asia (1 emas)
• Sukan SEA (5 perak)
Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 (18 – 29 September 2027)
Azizul Annuar Adenan (Malaysia Timur)
• Naib Presiden OCM
• Presiden Taekwondo Malaysia (WT)
• Ahli Jawatankuasa Penasihat, Asian Taekwondo Union
Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (Malaysia Barat)
• Naib Presiden OCM
• Presiden Persekutuan Tinju Malaysia
Ringkasan AI
- MAJLIS Olimpik Malaysia mengumumkan pelantikan ketua kontinjen negara untuk beberapa temasya sukan utama
- Datuk Awalan Abdul Aziz dilantik sebagai CDM Sukan Komanwel 2026 dan Datuk Mohd Sumali Reduan untuk Sukan Asia 2026
- Azizul Annuar Adenan dan Datuk Mohamad Iruan Zulkefli sebagai CDM bersama Sukan SEA 2027
- Datuk Chong Kim Fatt dan Wong Weng Son masing-masing sebagai CDM untuk Sukan Pantai Asia 2026 dan Sukan Olimpik Remaja 2026
- Pelantikan ini mendapat pengesahan daripada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari



