Bekas pelajar persendirian gagal teruskan saman kes buli terhadap KPM, kerajaan

Bekas pelajar persendirian gagal teruskan saman kes buli terhadap KPM, kerajaan

Putrajaya: Mahkamah Rayuan menolak permohonan seorang bekas pelajar sebuah sekolah persendirian Cina untuk menghidupkan semula saman terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan pelanggaran kewajipan statutori susulan insiden buli di sekolah berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Nazarin Wok Nordin, memutuskan pemohon gagal memenuhi ambang undang-undang yang ditetapkan bagi membolehkan kebenaran rayuan diberikan.

Mahkamah turut memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM20,000.

Remaja terbabit, yang juga bekas pelajar sekolah menengah berkenaan di Kuala Lumpur, mendakwa dipukul di kepala dengan kuat oleh seorang rakan sekelas lelaki sehingga mengalami kecederaan serius, empat tahun lalu.

Bekas pelajar itu kemudian memfailkan saman menerusi bapanya di Mahkamah Sesyen pada 2023 terhadap pelaku, pihak sekolah, guru serta KPM.

Bapanya sebelum itu membuat aduan berhubung insiden buli berkenaan menerusi laman sesawang KPM dan memohon tindakan diambil. Bagaimanapun, kementerian memaklumkan perkara itu telah diselesaikan pihak sekolah.

Pada 5 Mei tahun lepas, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan KPM dan kerajaan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan kedua-dua pihak bukan majikan kepada kakitangan sekolah terbabit dan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara vikarius atas sebarang kecuaian yang didakwa dilakukan defendan lain.

Mahkamah memutuskan pendaftaran sekolah dan kakitangannya di bawah Akta Pendidikan 1996 tidak menjadikan sekolah persendirian itu sebagai institusi kerajaan.

Sebaliknya, mahkamah mendapati sekolah berkenaan kekal sebagai institusi swasta dengan pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan dikendalikan badan persendirian yang turut bertanggungjawab melantik serta membayar gaji kakitangannya.

Mahkamah turut memutuskan kawalan dan penyeliaan yang dilaksanakan KPM terhadap sekolah swasta adalah sebahagian daripada tanggungjawab kementerian bagi memastikan institusi terbabit mematuhi peraturan serta selaras dengan kehendak sistem pendidikan kebangsaan.

Remaja itu kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 22 Disember tahun lalu.

Peguamnya Lim Jia Qing dibantu peguam Lo Jia Yi berhujah sekolah persendirian Cina berada di bawah bidang kuasa KPM dan kerajaan sepatutnya dipertanggungjawabkan kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kementerian dan kerajaan berhujah sekolah persendirian Cina tidak berada di bawah bidang kuasa kementerian.

Menurutnya jika sekolah terbabit benar-benar diklasifikasikan sebagai sekolah swasta mengikut undang-undang negara, institusi itu perlu mengikuti kurikulum kebangsaan dan pelajarnya wajib menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun, sekolah itu mempunyai silibus dan peperiksaan sendiri,” katanya.

Liew yang dibantu Peguam Persekutuan Anis Najwa Nazari turut memaklumkan polis sudah menjalankan siasatan terhadap aduan berkenaan sebelum mengklasifikasikan kes itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Beliau berkata dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan adalah tidak tepat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top