Elly Arifin Tak Melatah, Terima Pendapat Pendengar Dengan Hati Terbuka – “Kritikan Orang Ramai Jadi Ruang Saya Perbaiki Diri”

Elly Arifin Tak Melatah, Terima Pendapat Pendengar Dengan Hati Terbuka – “Kritikan Orang Ramai Jadi Ruang Saya Perbaiki Diri”

Penyampai radio Elly Arifin tidak pernah berkecil hati dengan kritikan pendengar terhadap cara penyampaiannya ketika mengendalikan segmen pagi.

Menurut Elly yang juga merupakan seorang pengacara dan pelakon, sejak awal lagi dia sudah bersedia untuk menerima pelbagai pandangan daripada orang ramai.

Berpengalaman sebagai seorang wartawan penyiaran sebelum terjun ke dunia glamor, penyampai Pagi on Suria ini menganggap kritikan sebagai perkara biasa dalam dunia penyiaran.

“Alhamdulillah saya tidak terasa hati dengan apa yang diperkatakan. Sebelum melibatkan diri dalam bidang radio atau televisyen lagi, saya sudah bersedia dari segi mental untuk menerima sebarang kritikan atau teguran.

“Saya cuba melihat semua itu dari sudut yang positif dan gunakan sebagai ruang untuk memperbaiki diri. Saya tidak mahu bersikap ego atau mudah melatah kerana kadangkala kita sendiri tidak sedar di mana kelemahan kita,” katanya.

Elly ditemui pada majlis Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim di Urban Park Hall, Shah Alam, pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penampilan Didakwa Semakin Daring, Ini Respons Elly Arifin – “S*ksi Ke? Saya Rasa Macam Okay Je”

Tambah Elly, dia juga mengambil pendekatan membaca setiap komen yang diterima kerana percaya pandangan orang ramai mampu membantu dirinya memperbaiki mutu penyampaian.

“Saya memang baca setiap komen dan cuba terima semua teguran dengan hati terbuka. Kalau tiada orang menegur, mungkin kita akan rasa semuanya sudah cukup baik.

“Saya mungkin tidak sedar kesilapan sendiri atau perkara yang perlu diperbaiki. Jadi apabila ada yang menegur, saya jadikan ia sebagai panduan. Setiap hari adalah proses belajar. Bila ada nasihat atau teguran, saya ucap terima kasih dan cuba melihatnya secara positif supaya boleh terus memperbaiki diri,” katanya.

Dalam masa sama, Elly berkata dia turut berbincang dengan rakan sekerjanya iaitu Fad dan Ajak mengenai isu yang dibangkitkan oleh netizen.

“Kami ada berbual tentang perkara ini dan saya juga cuba mempraktikkan beberapa perkara bersama Fad dan Ajak. Saya faham sebagai seorang wanita, mungkin kurang manis jika tidak menggunakan panggilan seperti ‘saya’ dan ‘awak’.

“Walaupun Fad dan Ajak adalah kawan saya, itu tidak bermakna saya boleh ambil mudah. Saya perlu kekal profesional kerana saya bukan hanya bercakap dengan rakan di konti, tetapi dengan semua pendengar termasuk yang tidak mengenali saya.

“Saya anggap perkara ini sebagai satu pengajaran. Saya akan cuba memperbaikinya supaya penyampaian saya lebih baik dan dapat diterima oleh semua pendengar,” katanya lagi.

Scroll to Top