KUALA LUMPUR: Keputusan cadangan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (WFH) bakal dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas Selasa depan.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R. Ramanan berkata, semasa bersidang dalam Jemaah Khas semalam cadangan WFH telah dikemukakan dan ia sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara.
“Kita akan dapat maklum balas, bukan sahaja cadangan dan persetujuan yang kita akan laksanakan tapi juga cadangan-cadangan daripada kementerian lain juga sedang diteliti.
“Keputusan cadangan ini akan dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa , setelah penelitian yang sedang dijalankan dan keputusan akan diambil Perdana Menteri, selaku Pengerusi Mesyuarat Jemaah Menteri,”katanya ketika ditemui media dalam Program Ziarah MADANI Ihya Ramadan 2026, di sini hari ini.
Khamis lalu, jurucakap kerjaan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata cadangan kesesuaian pelaksanaan WFH bagi sektor awam akan diteliti terlebih dahulu dan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas pada Jumaat.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan memaklumkan sebahagian syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid pasca pandemik dengan melaksanakan pengaturan WFH. – UTUSAN




