Jangan kitar semula pengganti Cklamovski

Jangan kitar semula pengganti Cklamovski

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mengamalkan pendekatan ‘kitar semula’ dalam pelantikan ketua jurulatih Harimau Malaya yang kini masih kosong selepas bekas pengendali, Peter Cklamovski menamatkan kontrak lebih awal secara persetujuan bersama.

Jelasnya, usaha melakukan transformasi menyeluruh dalam skuad kebangsaan tidak akan berhasil sekiranya FAM terus menggunakan nama sama secara berulang kali, sekali gus boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan penyokong.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sekiranya Pengarah Teknikal Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai jurulatih interim, terutama menjelang kejohanan terdekat iaitu Piala Hyundai bulan depan.

“Bagi saya kalau interim, boleh. Interim itu sementara sahaja. Tetapi kalau kita terus ulang nama yang sama, itu yang jadi isu.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan ‘recycle’ ini. Kalau dulu seseorang itu pernah mencapai KPI atau menunjukkan prestasi baik tetapi digugurkan atas faktor tertentu seperti pelantikan jurulatih luar, itu kita boleh terima.

“Namun jika nama yang sama diulang-ulang, peminat dan netizen pasti akan memberi reaksi. Kita tidak boleh hanya berpusing dalam kelompok yang sama,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam pada itu, Pekan menegaskan proses pemilihan ketua jurulatih perlu dilakukan secara lebih profesional dengan menilai semua calon secara menyeluruh, termasuk jurulatih tempatan dan luar negara.

Katanya, senarai pendek perlu dibentuk berdasarkan prestasi, KPI serta rekod pencapaian sama ada di Liga Super mahupun peringkat pembangunan sebelum keputusan dibuat secara lebih teratur.

“Kita kena senaraikan dulu calon tempatan, kemudian barulah calon luar negara. Selepas itu baru kita buat keputusan dengan lebih tersusun. Kalau boleh biar ada panel pemilihan supaya proses ini lebih telus dan tidak dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan peluang perlu diberikan secara adil kepada jurulatih tempatan, terutama yang menunjukkan prestasi baik bersama kelab atau skuad pembangunan. Ketika ini, terdapat kekosongan di peringkat skuad senior dan skuad muda negara, justeru FAM perlu berani memberi ruang kepada calon yang benar-benar layak.

“Kita perlu memberi peluang kepada mereka. Mungkin seseorang jurulatih itu tidak sesuai untuk Harimau Malaya, tetapi sesuai untuk B-23. Itu adalah proses perkembangan dalam kerjaya jurulatih.

“Kalau kita tidak beri peluang, kita hanya akan melihat kelompok yang sama dalam sistem sedia ada. Kita perlu buka ruang lebih luas, bukan hanya dalam kelompok tertentu sahaja.

“Ada juga situasi di mana seseorang jurulatih tidak membimbing mana-mana pasukan kelab, tetapi boleh dilantik menjadi jurulatih Harimau Malaya. Perkara ini agak janggal jika dilihat dari sudut perkembangan kerjaya jurulatih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top