Kuala Lumpur : “Kalau ikutkan kerugian yang kami alami memang sukar dijelaskan. Itu belum lagi pelbagai tomahan diterima dan tekanan perasaan dialami,” demikian kata pelakon Azlan Komeng.
Azlan mengulas mengenai kesan yang dilalui berikutan kes saman membabitkan dia dan bekas isteri Nur Nilam Ortiz bersama seorang pempengaruh dan sebuah syarikat.
Menurut Azlan menerusi syarikatnya bersama Nilam iaitu Nilam Empire serta sokongan pasukan peguamnya pihaknya memfailkan saman terhadap pempengaruh, Norsufia Johari yang lebih dikenali sebagai Cik Pia.
Katanya, tindakan itu dibuat susulan pihaknya dan Nilam mendapati terdapat beberapa kenyataan dan tindakan yang didakwa dilakukan Cik Pia menjejaskan hak serta reputasi mereka.
Dalam pada itu, Azlan turut disahkan bebas daripada status bankrap sekali gus memberikan kelegaan buat mereka meneruskan kehidupan.
“Kami percaya setiap perkara harus diselesaikan melalui proses undang-undang yang adil dan telus. Keputusan mahkamah ini memberikan ruang kepada kebenaran untuk terus ditegakkan berdasarkan fakta dan bukti,” katanya.
Pemohon perintah Perintah Injunksi bagi menghalang Cik Pia daripada membuat sebarang kenyataan memandangkan kes ini masih dalam proses mahkamah.
Pada Ogos tahun lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam kes ini satu perkembangan penting dalam landskap perundangan membabitkan pasangan itu menyaksikan kemenangan signifikan buat pihak Nilam Empire.
Mahkamah menolak permohonan yang difailkan oleh pihak defendan dan memberi kebenaran untuk prosiding lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran perintah mahkamah.
Keputusan berkenaan diumumkan pada 5 Mac lalu, dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan undang-undang pihak plaintif (Nilam Empire).
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan Perintah Injunksi bagi menghalang sebarang kenyataan lanjut berkaitan isu tersebut sementara kes berjalan. Bagaimanapun, mahkamah kemudiannya dimaklumkan mengenai dakwaan pelanggaran perintah itu, yang membawa kepada permohonan prosiding komital oleh pihak plaintif.
Dalam keputusan terbaharu, mahkamah menetapkan menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman plaintif, serta menolak permohonan jaminan kos sebanyak RM75,000 yang difailkan pihak defendan selain memberikan kebenaran kepada plaintif untuk memulakan prosiding komital terhadap defendan berhubung dakwaan pelanggaran perintah injunksi.
Pasangan Nilam dan Azlan menegaskan akan terus memberi kerjasama penuh kepada mahkamah dan tidak akan mengulas terperinci mengenai merit kes selagi proses perundangan masih berjalan.
Dengan keputusan yang memihak kepada mereka ia sekali gus memberi peluang memperkukuh perniagaan serta komitmen dalam industri kreatif tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




