kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Emas terus dilihat sebagai instrumen pelaburan jangka panjang yang berdaya tahan walaupun harga logam berharga itu menunjukkan turun naik ketara kebelakangan ini susulan pelbagai faktor ekonomi dan geopolitik global.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Nur Zahidah Bahrudin berkata, pergerakan harga emas ketika ini banyak dipengaruhi oleh dasar kadar faedah global, khususnya keputusan monetari Amerika Syarikat (AS), kekuatan dolar AS, inflasi, konflik geopolitik serta permintaan berterusan daripada bank-bank pusat.
Katanya, kadar faedah yang tinggi menjadikan emas kurang menarik kerana tidak menawarkan pulangan seperti instrumen kewangan lain, manakala jangkaan penurunan kadar faedah lazimnya menyokong kenaikan harga emas.
“Nilai dolar AS juga mempunyai hubungan songsang dengan harga emas. Apabila dolar mengukuh, harga emas biasanya tertekan kerana kos pembelian menjadi lebih mahal kepada pelabur yang menggunakan mata wang lain.
“Pada masa sama, inflasi yang tinggi meningkatkan daya tarikan emas sebagai aset lindung nilai kerana pelabur mahu mengekalkan kuasa beli mereka,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, ketidaktentuan geopolitik global turut meningkatkan permintaan terhadap emas kerana pelabur cenderung beralih kepada aset selamat ketika berlaku konflik antarabangsa.
Selain itu, pembelian emas secara berterusan oleh bank-bank pusat, khususnya dari negara membangun yang mahu mempelbagaikan rizab antarabangsa, turut menyokong harga emas dalam jangka sederhana dan panjang.
Mengulas prospek pasaran, beliau menjangkakan harga emas kekal berada dalam aliran positif bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, meskipun dijangka terus berdepan turun naik yang tinggi.
Katanya, harga emas berpotensi meningkat tetapi masih belum dijangka mencapai paras RM750 segram dalam masa terdekat walaupun tidak mustahil untuk direkodkan semula seperti paras tertinggi sekitar RM764 segram yang pernah dicapai pada penghujung Januari lalu.
“Buat masa ini, harga emas masih berada dalam lingkungan purata antara RM590 hingga RM650 segram bergantung kepada tahap ketulenan. Untuk kembali ke paras rekod sebelum ini mungkin memerlukan sedikit masa,” katanya.
Nur Zahidah turut menasihatkan pelabur runcit supaya tidak panik dengan penurunan harga semasa kerana tindakan sedemikian sering didorong faktor emosi dan bukannya asas pelaburan yang kukuh.
Katanya, dari perspektif kewangan tingkah laku, ramai pelabur cenderung melakukan jualan panik apabila harga jatuh dan mengalami fenomena takut ketinggalan peluang (FOMO) apabila harga meningkat.
“Penurunan harga tidak semestinya bermaksud kerugian selagi pelaburan belum dijual. Jika faktor fundamental kekal kukuh, keadaan ini boleh dilihat sebagai peluang untuk menambah pegangan secara strategik, khususnya bagi pelabur jangka sederhana dan panjang,” katanya.
Bagi pelabur baharu, beliau menyarankan pendekatan pembelian berkala atau Dollar-Cost Averaging (DCA) dengan membeli emas secara konsisten tanpa terlalu memberi tumpuan kepada pergerakan harga harian.
Selain itu, pelabur disaran menetapkan objektif pelaburan yang jelas sama ada sebagai lindung nilai inflasi, simpanan jangka panjang atau tujuan spekulasi kerana setiap matlamat memerlukan strategi berbeza.
Beliau berkata, diversifikasi portfolio juga penting dengan mengehadkan pegangan emas sekitar lima hingga 15 peratus daripada keseluruhan pelaburan bagi mengurangkan risiko.
“Pelabur perlu memahami instrumen yang dipilih sama ada emas fizikal, akaun emas, emas digital atau dana dagangan bursa (ETF) emas kerana setiap satu mempunyai tahap kecairan dan kos yang berbeza.
“Paling penting, elakkan jualan panik dan pembelian berlebihan ketika harga melonjak. Pendekatan membeli ketika harga lemah, bukannya ketika sentimen memuncak, lebih berkesan untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan pelaburan emas dibuat melalui saluran yang sah dan patuh syariah bagi mengelakkan risiko penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




